Perak Hari Ini

Perjuangan PAS yang menyimpang dari matlamat asal dorong ahlinya tinggalkan parti

Perjuangan PAS yang kini banyak menyimpang dari matlamat asal telah menyebabkan sebahagian ahlinya di kawasan Parlimen Larut menjadi tawar hati sehingga mengambil keputusan keluar parti untuk menyertai UMNO.

Mereka merupakan sebahagian besar daripada 756 yang menyerahkan borang keahlian untuk menyertai UMNO kepada Ketua Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis di Kampung Bayan Baru, Kubu Gajah, Selama.

Zambry yang juga Menteri Besar berkata sebahagian besar mereka yang menyerahkan borang itu adalah ahli PAS manakala selebihnya merupakan ahli Pakatan Rakyat.

Katanya tindakan ahli-ahli Pas tersebut yang memilih UMNO menunjukkan parti itu semakin teguh di Perak.

“Apa yang terjadi menunjukkan perubahan besar di Parlimen Larut. Ia menunjukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) makin teguh dan kita mengalu-alukan mereka ini,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa keputusan yang diambil 756 ahli parti pembangkang itu didorong oleh perasaan tidak selesa mereka dengan pendekatan Pakatan Rakyat terutama PAS yang gemar memaki hamun, berkelahi dan sentiasa mencari kesalahan kerajaan.

Sementara itu, bekas timbalan Ketua PAS Cawangan Bagan Baru Mat Arop Selamat, 65, menegaskan keputusan keluar PAS itu adalah atas kerelaan hati tanpa paksaan atau sogokan daripada mana-mana pihak.

Katanya tindakan yang diambil ahli PAS di kawasan DUN Kubu Gajah itu adalah kerana hilang kepercayaan kepada perjuangan parti itu yang dilihat kini sudah banyak menyimpang.

“Cuba tengok di Pulau Pinang dan Selangor sekarang. Semuanya kelam kabut dan bergolak,” katanya yang menyertai PAS sejak tahun 1969.

Namun, menurut Mat Arop faktor pencetus kepada beliau meninggalkan PAS terjadi setelah berpeluang mengenali Zambry secara peribadi pada 7 April tahun ini.

“Pada hari itu, beliau telah datang untuk bermalam di homestay saya. Ketika itu dia tidak tahu bahawa saya adalah ahli kuat PAS.
“Kesempatan mengenali beliau secara dekat mengubah pendirian saya kerana dia tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh pemimpin parti saya.

“Saya tertarik dengan kemesraan dan keikhlasan pemimpin seperti beliau,” katanya.

Mat Arop berkata sebelum pertemuan peribadi beliau dengan Zambry dirinya sudah pun kagum dengan kewibawaan pemimpin UMNO itu mentadbir negeri.

Beliau menasihati ahli PAS yang lain untuk sedar dan bersama-sama menyokong UMNO bagi memastikan nasib orang Melayu akan lebih terbela.

Bagi membuktikan perjuangannya bersama UMNO ikhlas, Mat Arop berkata dia bersama bekas ahli Pas yang lain akan mengadakan kempen menarik lebih ramai ahli menyertai UMNO.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");