Berita Hari Ini

PKR Gombak: Peniaga buku hantu cabar Azmin

PETALING JAYA: Seorang peniaga buku-buku hantu, Bakar Ninggal akan mencabar Naib Presiden PKR Azmin Ali untuk jawatan Ketua Cabang Gombak pada pemilihan 3 Oktober nanti.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu setakat ini mendapat sokongan daripada ramai pemimpin parti yang lain untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, Oktober depan.

Semalam 18 ahli parlimen dan dua senator PKR menyatakan sokongan kepada Azmin bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR. Hari ini pula 13 Adun PKR Selangor dan Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada Azmin untuk jawatan yang sama.

Tetapi di peringkat cabang (bahagian) Gombak, beliau akan ditentang satu lawan satu untuk jawatan ketua oleh bekas timbalan ketua cabang Gombak, Bakar Ninggal yang kini menjadi peniaga buku-buku kisah hantu.

Ketika dihubungi pagi ini, Bakar, ketua ranting (cawangan) Pusat Bandar Seri Gombak mengesahkan perkara tersebut.

“Saya bertanding atas kehendak ramai iaitu ahli cabang Gombak. Sebagai pemimpin saya perlu memenuhi permintaan mereka. “Setelah berbincang dengan ahli, saya mengambil keputusan untuk menerima pencalonan bertanding jawatan Ketua Cabang Gombak.

Bertanding dalam satu kumpulan

“Kami bertanding dalam satu kumpulan di mana kumpulan saya juga bertanding untuk jawatan timbalan ketua cabang, naib dan ahli jawatankuasa (AJK) cabang,” katanya.

Menurut Bakar, beliau dan kumpulannya telah menyerahkan borang pengesahan bertanding kepada jawatankuasa pemilihan cabang, Ahad lalu. Mesyuarat pemilihan cabang Gombak akan diadakan di Hotel De Palma, Ampang pada 3 Oktober depan.

Azmin, orang kuat Anwar menjadi ketua cabang Gombak sejak PKR ditubuhkan pada 1999.

Bakar pula menjadi timbalan ketua dari 1999 hingga 2005 dan bendahari cabang Gombak selama sepenggal hingga 2007 sebelum meletakkan jawatan kerana berselisih faham dengan Azmin.

Beliau mendakwa, beliau bersama lapan yang lain termasuk Azmin menjadi pengasas penubuhan PKR Gombak pada 1999.

Bakar juga mendakwa, ramai bukan sahaja di Gombak tetapi seluruh negara yang tidak suka dengan perangai Azmin.

“Beliau seorang yang sombong kerana beliau tahu disokong oleh Datuk Seri (Anwar Ibrahim). Di kawasan saya (Seri Gombak) beliau jarang datang, cuma sekali dua sahaja. Kita panggil pun dia tak datang,” dakwanya.

PKR cabang Gombak mempunyai kira-kira 20 ranting (cawangan) dan 7,000 ahli.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");