Berita Hari Ini

Soi Lek: Namewee perlu hadapi risiko

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata penulis lagu muda Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai sebagai Namewee perlu menghadapi tindakan sewajarnya kerana mengeluarkan klip video terbaru yang didakwa menyinggung kaum dan agama lain.

“Kebebasan meluahkan perasaan seharusnya datang bersama tanggungjawab dalam menjaga sensitif kaum dan agama lain,” Dr Chua kepada pemberita di sini hari ini.

“Apabila dia (Wee) melanggar tanggungjawabnya, dia perlu menghadapi muzik (risiko),” kata beliau.

Dr Chua (gambar) juga berkata kerajaan perlu bertindak tegas terhadap semua pelampau perkauman di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan perlu diambil terhadap Wee kerana menyiarkan klip video melalui YouTube untuk mengutuk seorang pengetua sekolah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini dan terhadap pengetua sekolah di Johor itu sekiranya terbukti beliau melakukan kesalahan.

“Kita tak boleh biarkan mereka (membuat kenyataan berbau perkauman).

“Saya akan sokong apa jua tindakan yang kenakan terhadap mereka,” katanya.

Ini kali kedua, Wee, 27, mencetuskan kontroversi. Kali pertama pada 2007 apabila dia menyiarkan klip video bertajuk Negarakuku melalui YouTube yang menghina lagu kebangsaan negara ketika menuntut di sebuah universiti di Taiwan.

Dr Chua berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya berasa gempar dengan perbuatan Namewee dan pengetua sekolah berkenaan kerana majoriti rakyat negara ini mahukan perpaduan.

“Semua rakyat Malaysia seharusnya berkongsi matlamat untuk memastikan negara ini sentiasa aman dan makmur serta berusaha ke arah menjadikannya sebuah negara yang lebih baik,” kata beliau.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");