Perak Hari Ini

Titipan Kasih Harian Metro

IPOH: Pemilihan Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini, sebagai lokasi ketiga dan terakhir program Titipan Kasih Harian Metro 2010 bertemakan ‘Mudik Ke Desa’, 4 September ini, dianggap satu penghargaan dan kebanggaan oleh penduduknya.

Sebagai membalas penghormatan itu, Ketua Kampung Ulu Kuang, Mohd Latif Lop Mohamad berjanji pihaknya akan berganding bahu dengan Harian Metro bagi membantu yang terbaik menjayakan program amal itu.

Beliau berkata, penduduk gembira sebaik mendapat tahu kampung mereka bakal menjadi tuan rumah pertama di Perak menganjurkan program itu sejak pertama kali diadakan di Kampung Wakaf Tapai, Ajil, Terengganu, pada Oktober 2007.

“Pertamanya, saya mewakili penduduk dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Kuang berterima kasih kepada Harian Metro kerana menjadikan kampung ini sebagai lokasi terakhir program Titipan Kasih Harian Metro 2010.

“Insya-Allah kami akan memberikan sepenuh komitmen bagi melancarkan program ini,” katanya selepas mesyuarat antara wakil penduduk dengan Pengarang Berita Harian Metro merangkap

Pengarah Program Titipan Kasih Harian Metro 2010, Munir Anaam Zuljadan dan Penyelaras, Kamarulzaman Pid di Kampung Ulu Kuang, kelmarin.

Hadir sama Ketua Biro Harian Metro Wilayah Utara, Badrila Jamlus dan Hanafiah Man iaitu Pegawai Khas kepada Pengerusi Yayasan Bina Upaya (YBU), Datuk Saarani Mohamad.

Turut hadir Ketua Umno Cawangan Ulu Kuang, Hamdan Ishak; Ketua Umno Cawangan Kuang Hilir, Hashim Jabar; Ketua Wanita Cawangan Ulu Kuang, Zaleha Ishak; Ketua Wanita Cawangan Kuang Hilir, Mahani A Ghani, Bendahari JKKK Masjid As Syakirin, Ahmad Puteh Salleh dan Yusof Mohd Nasir.

Program Titipan Kasih Harian Metro 2010 mendapat kerjasama YBU bagi meraikan 50 anak yatim, 20 ibu tunggal dan 10 keluarga golongan kurang bernasib baik di Kampung Ulu Kuang, Chemor, dekat sini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro berkonsepkan gotong-royong bersama penduduk kampung dengan kerjasama JKKK Ulu Kuang akan diadakan di pekarangan Masjid As Syakirin, Ulu Kuang.

Program akan bermula dengan penyembelihan seekor kerbau sumbangan Harian Metro yang akan turut dihadiri Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Saarani, sebelum dilapah untuk dimasak secara bergotong-royong bersama penduduk kampung sebagai juadah berbuka puasa di pekarangan Masjid As Syakirin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");