Berita Hari Ini

Zulkifli Nordin Minta Anwar Cermin Diri

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta untuk mencermin dirinya sendiri apabila membuat penegasan agar Perlembagaan serta hak dan kepentingan Melayu-Islam yang termaktub dalam perkara 152 dan 153 dipertahankan.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, dalam masa sama, Anwar perlu menilai semula setiap perkara yang dilakukannya selama ini sama ada bertepatan dengan apa yang diucapkannya.

Menurutnya, sebagai permulaan untuk mengotakan apa dikata, Anwar diminta untuk berterus-terang dengan akar umbi Pas mengenai komitmennya dengan parti itu dalam menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang Islam.

“Bagi saya semua ini wayang. Semua itu tidak pernah ada dalam perancangannya. Beliau sebelum ini buat kenyataan mahu pertahan Perlembagaan sedangkan Pas mahu ubah Perlembagaan jadi negara Islam.

“Jadi bagaimana mahu pertahan Perlembagaan? Saya percaya beliau hanya akan meneruskan apa yang Barisan Nasional lakukan selama ini dan penyokong-penyokong Pas terpedaya. Lebih baik berterus terang dengan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perutusan merdeka yang disiarkan di blognya, http://anwaribrahimblog.com, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan keperluan menjaga hak dan kepentingan Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dalam perutusannya itu turut menggesa agar peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan dipertahankan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan selain mengesyorkan agar dibatalkan semua pengisytiharan darurat yang masih berkuatkuasa

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mencabar Anwar untuk membuat pendirian jelas bahawa beliau sememangnya turut sama mempertahankan hak dan kepentingan Melayu.

Menurutnya, Anwar tidak perlu berdolak-dalih mengenai pendiriannya kerana banyak tindak-tanduknya sebelum ini tidak menampakkan bahawa beliau benar-benar mempunyai semangat seperti itu.

“Apa pendiriannya apabila wakil-wakil rakyat bukan Islam masuk ke masjid? Saya tidak dengar sebarang komen beliau mengenainya.

“Beliau yang saya kenali tidak mengotakan apa yang dikatakannya. Contoh terbaik, kononnya mahu bersikap telus. Kini Selangor di bawah PKR, tetapi tiada seorang pun wakil rakyat atau exco yang mengisytiharkan harta sampai sekarang seperti dijanjikan,” katanya.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari pula menganggap perutusan itu hanyalah usaha untuk mengaburi penyokong pembangkang terutamanya kaum bumiputera yang kepercayaan mereka semakin lama kian terhakis.

“Beliau sebenarnya sedang memalu gendang lama. Gendang sama yang pernah dipalunya ketika bersama dengan UMNO suatu ketika dahulu bagi menarik sokongan orang Melayu dan Islam.

“Di pentas ceramah PKR, beliau berulang kali menyatakan untuk memberi hak sama rata kepada bukan bumiputera. Bukankah itu terang-terang melanggar Perlembagaan?” katanya.

“Saya desak beliau tampil menjelaskan bagaimana beliau boleh melaksanakan perkara 152 dan 153 dalam Perlembagaan. Anwar perlu keluar idea untuk melaksanakannya dan bukan sekadar bercakap serta menyeru orang lain melakukannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");