Perak Hari Ini

200 penduduk RPT Sri Aman tagih pembangunan asas

Lebih 200 penduduk Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Sri Aman, Fasa 2 Lot 51, dekat Menglembu berasa terpinggir dan kecewa kerana masih belum menikmati kemudahan asas yang sempurna selepas mendiami rumah mereka hampir dua tahun lalu.

Penduduk menerima geran tanah daripada kerajaan negeri pada 20 Ogos tahun lalu tetapi mendakwa belum menikmati beberapa kemudahan asas seperti jalan raya dan lampu jalan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan mereka terutamanya di waktu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak RPT Sri Aman, Mohd Anuar Mohd Noh, berkata penduduk rasa bimbang dengan keselamatan anak mereka yang pergi ke sekolah dan tempat kerja kerana terpaksa melalui jalan utama yang dikelilingi semak samun.

“Kebanyakan penduduk di sini berpendapatan rendah dan golongan ibu tunggal yang memerlukan bantuan untuk membina rumah di tapak lot yang disediakan.

“Disebabkan tiada pilihan, ada di kalangan mereka terpaksa membina rumah daripada papan lapis kerana masih belum mendapat bantuan E Kasih, ” katanya.

Beliau berkata, penempatan itu menghadapi masalah banjir kilat kerana air melimpah dari Sungai Kledang dan sistem perparitan juga tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan.

Penduduk, Jamaliah Adnan, 50, berkata status permohonan ibu tunggal yang memohon bantuan melalui program E Kasih juga tidak mendapat sebarang reaksi positif daripada pihak bertanggungjawab.

Ibu tunggal, Zarina Mohan, 37, berkata ibunya yang berusia 80 tahun terpaksa tinggal dalam rumah yang diperbuat daripada papan lapis kerana belum mendapat bantuan E Kasih.

“Ibu, Aminah Arshad, tinggal di rumah yang diperbuat daripada papan lapis dan kami juga bimbang dengan keselamatannya kerana penempatan ini turut dinaiki air Sungai Kledang yang melimpah terutamanya ketika hujan lebat.

“Dengan pendapatan RM600 sebulan sebagai pekerja am, sudah tentu saya tidak mampu untuk membina rumah yang sempurna untuk ibu selain perlu membayar RM300 sewa rumah di tempat lain,” katanya.

Masalah penduduk RPT Sri Aman mendapat perhatian Ketua Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin, yang berjanji akan membawa perkara itu kepada pengetahuan pihak bertanggungjawab.

“Saya akan berjumpa dengan agensi bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengetahui status permohonan E Kasih yang dikemukakan ibu tunggal di sini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");