Perak Hari Ini

Bajet 2011 wujudkan keseimbangan baik antara ekonomi dan tuntutan rakyat

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri satu anjakan yang dapat membawa negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

Katanya yang paling penting bajet tersebut memperlihatkan kesungguhan kerajaan membawa transformasi ekonomi negara tanpa meminggirkan tuntutan golongan bahawan yang melibatkan hampir 40 peratus keseluruhan rakyat.

Katanya kenaikan elaun yang bakal dinikmati pemimpin masyarakat merupakan antara usaha kerajaan memenuhi tuntutan rakyat bawahan.

“Kita gembira kerana kerajaan dapat mewujudkan satu keseimbangan yang baik dalam bajet kali ini dimana dalam kita berusaha untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi, perkara-perkara asas seperti tuntutan golongan bawahan ini tidak terabai.

“Bajet 2011 juga memberi satu gambaran jelas akan hala tuju yang harus diambil bagi menggerakkan ekonomi peringkat negeri,” katanya.

Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2011 yang bertemakan Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi memberi tumpuan kepada empat strategi utama iaitu mendaya kembali pelaburan swasta, membangunkan modal insan, mensejahterakan hidup rakyat dan memantapkan penyampaian perkhidmatan Awam.

Zambry berkata kerajaan negeri akan mengambil pendekatan sama seperti kerajaan pusat dalam bajet negeri yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.

“Misalnya di peringkat negeri, kita juga akan memberi penekanan kepada memantapkan penyampaian perkhidmatan awam. Usaha ini perlu kerana ia dapat memastikan segala dasar dan perancangan kerajaan dapat dicapai mengikut jangka waktu yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan RM50 juta yang dipohon kerajaan negeri bagi membangunkan Perak Hi-Tech Park di Meru Raya.

“Ia merupakan satu berita gembira buat rakyat Perak. Selain dari itu, kerajaan pusat juga telah meluluskan beberapa projek asas iconic yang telah kita pohon sebelum ini,” katanya.

Zambry bagaimanapun berkata beliau tidak dapat memberi jumlah sebenar peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan pusat kepada Perak buat masa ini.

“Kita pohon RM3 bilion tetapi jumlah sebenar belum dapat kita perincikan lagi kerana bajet yang dibentangkan lebih bersifat makro,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");