Perak Hari Ini

Bantu pelajar miskin lanjut pengajian

IPOH 12 Okt. – Tahap pelajaran yang tinggi merupakan antara faktor penting bagi seseorang untuk memperoleh pekerjaan dengan gaji menarik.

Berbanding 20 tahun lalu, kini peluang untuk orang ramai melanjutkan pengajian ke universiti menjadi lebih luas dengan kewujudan banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahu pun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) termasuk bertaraf kolej.

Malah, pinjaman turut disediakan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membantu pelajar melanjutkan pelajaran.

Namun, masih ada ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran kerana tidak mampu untuk membayar yuran pendaftaran dan perbelanjaan awal sementara mendapat pinjaman.

Melihat kepada masalah itu, sebagai sebuah organisasi yang mempunyai tanggungjawab sosial, Kolej Antarabangsa TAJ (TAJ International College) di sini melancarkan Geran Subsidi Pendidikan 1Malaysia bagi membantu lepasan sekolah daripada keluarga kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke kolej tersebut.

Setakat ini, Kolej Antarabangsa TAJ sudah memberikan Geran Subsidi Pendidikan 1Malaysia berjumlah RM1.5 juta termasuk RM1 juta khusus untuk anak-anak peserta Felcra.

Majlis penyerahan geran itu diserahkan pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Felcra Berhad di Felcra Seberang Perak, baru-baru ini.

Geran subsidi pendidikan bernilai RM500,000 pula untuk membantu 2,500 pelajar daripada keluarga miskin tegar melanjutkan pengajian peringkat diploma dan ijazah di kolej berkenaan.

Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa TAJ, Tina Tajuddin berkata, melalui geran itu, setiap pelajar yang layak berpeluang mendapat pengecualian yuran pendaftaran sebanyak 50 peratus iaitu sebanyak RM200.

”Objektif utama program ini bagi membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya menaikkan taraf hidup mereka.

”Bantuan itu membolehkan mereka meneruskan pengajian sebelum mendapat bantuan menerusi pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan PTPTN,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Tina, geran subsidi RM1 juta itu adalah khas untuk anak-anak Felcra manakala geran RM500,000 yang disumbangkan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO negeri, Yayasan Bina Upaya, MCA serta MIC terbuka kepada semua kaum daripada golongan miskin tegar.

”Geran Subsidi Pendidikan 1Malaysia ini merupakan sebahagian bukti keprihatinan kerajaan dan organisasi terlibat terhadap pendidikan rakyat.

”Peluang yang ditawarkan ini perlu direbut oleh setiap lepasan sekolah di seluruh negara untuk melanjutkan pengajian ke Kolej Antarabangsa TAJ,” ujarnya.

Sejak penubuhannya pada 1996, Kolej Antarabangsa TAJ yang menawarkan program pengajian mengikut standard antarabangsa sudah melahirkan lebih 5,600 graduan pelbagai bidang.

Kolej Antarabangsa TAJ kini menyediakan program pengajian peringkat sijil dan diploma dalam bidang pengurusan perniagaan, pengurusan automotif, teknologi maklumat, perakaunan, pengurusan sumber manusia, pengajian perniagaan dan pengurusan kecantikan.

Pengajian peringkat ijazah dijangka bermula pada tahun depan.

Kolej Antarabangsa TAJ juga menjalinkan kerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak, Pusat Perniagaan Teknologi Termaju Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Pusat Perundangan Harun M. Hashim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");