Berita Hari Ini

Cina bukan Pendatang

Masyarakat Cina di negara ini tidak boleh dilabelkan sebagai ‘kaum pendatang’ kerana mereka telah menjadi warganegara sejak lima generasi yang lalu, demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Kita tidak boleh melihat ke belakang dengan sentimen yang lalu. Kita haru lihat ke hadapan kerana kita mahu membina sebuah negara Malaysia yang progresif dan berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung MCA ke-57 di Wisma MCA pada Ahad.

Mohd Najib turut menggesa kaum Cina dan India bekerjasama dengan orang Melayu dalam membentuk sebuah bangsa Malaysia yang adil dan saksama walaupun mempunyai perbezaan.

“Akan timbul polemik yang besar mengenai apa dia sebuah bangsa yang adil. Seorang pemimpin Melayu mempunyai definisi adil yang berbeza dengan anda,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan kesamarataan ekonomi dalam aspek pembahagian kekayaan bergantung kepada saiz komuniti tersebut.

“Adalah satu yang tidak kena sekiranya sekumpulan kecil rakyat di negara ini yang kaya, ini bukan satu perkara yang adil. Saya fikir MCA juga tidak bersetuju.

“Oleh itu kita perlu mempunyai ekonomi yang adil di mana orang Melayu akan merasakan mereka mempunyai kekayaan ekonomi yang besar dan orang Cina juga dapat menikmati perkembangan ekonomi yang dinikmati,” katanya.

Mohd Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional menggesa rakyat negara ini bekerjasama untuk melaksanakan konsep 1Malaysia yang mengandungi dasar-dasar kerajaan seperti Program Transformasi Kerjaaan dan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

“Kita perlu realistik bukan beremosi. Bukan rasis tapi realistik. Kita perlu menanam sifat bekerjasama dan permuafakatan dalam diri seperti mana yang telah ditunjukkan nenek moyang kita.

“Konsep 1Malaysia merupakan satu konsep yang ingin membentuk masyarakat yang adil dan bersatu-padu,” katanya.

Tegasnya, kerajaan tidak pernah menerima kenyataan berbaur rasis yang dibuat oleh pegawainya namun proses penyiasatan perlu dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil.

“Seorang pegawai membuat kenyataan berbaur rasis, kita telah mengambil tindakan ke atasnya. Kita tidak menyokong sikap mahupun kenyataan berbaur perkauman. Saya janji dengan anda.

“Tetapi siasatan terperinci perlu dijalankan untuk menyiasat perkara tersebut. Namun isu ini telah menjadi besar disebabkan oleh kemajuan teknologi pada hari ini, Mohd Najib berkata, kenyataan berunsur perkauman perlu di lihat kepada konteks budaya supaya ia tidak ditafsirkan dalam aspek konotasi yang berbeza.

Dengan memberi contoh beliau memanggil rakan Melayunya dari utara dengan panggilan Non Tok Yu (kicap hitam), katanya gelaran tersebut tidak dilihat sebagai satu penghinaan.

“Jika mereka membuat kenyataan seperti itu, kita perlu faham latar budaya mereka. Namun jika kita melihatnya kepada konteks orang India di Malaysia sudah pasti mereka akan marah.

“Saya sudah pasti tidak akan menggunakan gelaran tersebut kepada rakan-rakan dalam MIC,” katanya.

Pada forum 1Malaysia yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya di MITC, Ayer Keroh Melaka pada, 2 Februari lalu Datuk Nasir Safar dilaporkan berkata, kaum bukan Melayu di negara ini asalnya adalah pendatang dan peminta sedekah.

Ekoran kenyataan tersebut, beliau telah meletakkan jawatannya pada 5 Februari lalu.

Nasir didakwa membuat kenyataan demikian ketika merujuk kepada beberapa isu dan tuntutan yang dibuat oleh kaum bukan Melayu dalam soal polisi pendidikan negara.

Kenyataan beliau itu khabarnya telah menyebabkan beberapa peserta dari MIC dan MCA keluar meninggalkan dewan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");