Perak Hari Ini

Gerakan perlu lebih agresif tangani isu kepimpinannya

IPOH 5 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu parti Gerakan lebih agresif menangani pelbagai isu yang berbangkit terutama mengenai soal kepimpinan parti.

Beliau berkata, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sebagai Presiden parti harus bijak menyelesaikan segera permasalahan tersebut.

”Saya fikir pimpinan Gerakan sendiri harus ambil berat apa yang disuarakan oleh Tun Dr. Lim Keng Yaik. Saya tak fikir ia satu soal yang agak sukar untuk diselesaikan kalau Tsu Koon boleh membantu menangani isu-isu yang berlaku di Pulau Pinang dan di peringkat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Keng Yaik yang melepaskan jawatan sebagai Penasihat Gerakan dengan alasan kecewa terhadap pimpinan Tsu Koon yang juga penggantinya sejak April 2007 berikutan gagal bertindak proaktif menyelesaikan isu-isu melibatkan Gerakan walaupun diberi nasihat.

Ditanya kemungkinan Barisan Nasional (BN) bercadang membantu menyelesaikan masalah itu, kata Muhyiddin berkata: ”Saya fikir inisiatif sebegitu lebih berkesan, kalau tidak nanti dilihat sebagai kita mencampuri urusan parti-parti lain. Timbul pula nanti kemungkinan tanggapan bahawa pemimpin Gerakan lemah, terpaksa mencari orang luar untuk membantu menyelesaikan masalah.

”Saya tak fikir sampai ke peringkat itu. Yang penting pimpinan Gerakan sendiri ada mengambil langkah yang lebih agresif untuk menangani apa sahaja isu berpandu pada nasihat daripada bekas penasihat parti itu,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, BN menghormati keputusan Keng Yaik itu yang disifatkan sebagai orang lama yang tahu dan faham selok-belok politik.

Mengenai keputusan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menolak jawatan sebagai penasihat parti tersebut jika beliau bersara kelak, Muhyiddin berkata, keputusan tersebut juga perlu dihormati kerana mungkin beliau berasa yakin dengan barisan kepimpinan MIC yang ada.

”Bagi saya, apa yang diputuskan oleh kedua-dua pemimpin, sama ada Keng Yaik atau Samy Vellu, adalah keputusan mereka dari sudut parti masing-masing,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");