Perak Hari Ini

Hanya 53 pemohon layak terima Tabung Simpanan Pendidikan Negeri

Yayasan Perak menerima lebih 1,000 permohonan bagi mendapatkan bantuan Tabung Simpanan Pendidikan negeri yang dilancarkan baru-baru ini dengan dana awal bernilai RM2 juta.

Pengerusinya, Datuk Nadzri Ismail, berkata daripada keseluruhan permohonan itu, hanya 53 pemohon didapati layak menerima bantuan itu dengan nilai RM10,600 kerana setiap mereka menerima RM200 sebagai permulaan simpanan.

Tegasnya, yayasan kini sedang melaksanakan beberapa pendekatan bagi memaklumkan kewujudan tabung itu kepada golongan sasaran termasuk mengedarkan borang permohonan kepada 59 pejabat Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) dan penyelaras DUN, Jabatan Pendaftaran dan hospital di seluruh negeri Perak.

Ujarnya, Tabung Simpanan Pendidikan negeri itu dilancarkan sebagai persediaan jangka panjang kepada ibu bapa apabila anak mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan Perak baru-baru ini melancarkan Tabung Simpanan Pendidikan negeri dengan peruntukan dana awal bernilai RM2 juta.

“Melalui tabung ini, setiap anak yang dilahirkan selepas 12 tengah malam 1 Januari 2010 layak menerima RM200 sebagai simpanan dengan syarat pendapatan isi rumah bawah RM1,500 sebulan.

“Wang itu akan dimasukkan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan ibu bapa atau penjaga hendaklah menabung atau menambah simpanan dari semasa ke semasa.

“Ia boleh dikeluarkan selepas anak kelahiran Perak genap berusia 18 tahun ke atas,” katanya kepada Peraknews.com hari ini.

Nadzri berkata, Yayasan Perak diberi tanggungjawab untuk menguruskan tabung ini yang sekaligus membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memartabatkan bidang pendidikan.

Selain mengedar borang kepada pejabat wakil rakyat, yayasan itu juga katanya, sedang menimbang cadangan untuk mengiklankan kewujudan tabung berkenaan di media massa tempatan agar lebih ramai golongan sasaran tampil mengemukakan permohonan.

“Saya yakin dalam tempoh beberapa dua tiga bulan ini, bilangan pemohon akan meningkat dan setakat ini, kita sudah menerima lebih 1,000 permohonan.

“Kita juga menggalakkan pemohon untuk memuat turun borang menerusi laman web Yayasan Perak iaitu www.yayasanperak.com.my,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nadzri berkata, pihaknya akan mengemukakan usul kepada kerajaan negeri untuk membawa baki dana pada 2010 ke tahun depan supaya lebih ramai golongan sasaran mendapat manfaat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");