Perak Hari Ini

Jasa veteran 2 Briged dihargai

IPOH 15 Okt. – Setelah 55 tahun penubuhannya, Divisyen Kedua Infantri 2 Briged bukan sahaja berjaya membantu kerajaan mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman komunis malah turut mengawal sempadan negara daripada pencerobohan.

Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Zulkifli Mansor berkata, sebagai sebuah ketumbukan tentera yang bertanggungjawab mengawal keselamatan di Perak, sambutan ulang tahun yang lebih setengah abad itu amat bermakna bagi menghargai perjuangan dan pengorbanan anggota tentera.

“Sejarah penubuhan 2 Briged adalah lebih awal dari tahun 1955 khususnya di zaman darurat bagi mengekang Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak aktif suatu masa dahulu.

“Walaupun kejayaan 2 Briged tidak dilihat secara terbuka kerana wujudnya pasukan keselamatan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kita bertindak sebagai unit sokongan yang sentiasa membantu memelihara ketenteraman awam daripada sebarang bentuk ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Markas 2 Briged yang ke-55 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai lima pesara tentera dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai khidmat bakti mereka yang bertugas sewaktu darurat.

Mereka ialah Mejar Raja Muhamad Sheikh Mohd. dan Pegawai Waren 2, Lam Ah Oii yang telah berkhidmat masing-masing selama 31 dan 25 tahun dalam Kor Risik Diraja.

Tiga lagi penerima PJM ialah Sarjan K. Tharamalinggan dan Lans Koperal N. Subramaniam yang telah mencurahkan bakti dalam Kor Perkhidmatan Awam lebih daripada 10 tahun serta Lans Koperal Zainal Abidin Zulkafli dari Rejimen Askar Melayu Diraja.

Sementara itu, Ah Oii, 67, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika bertugas adalah menentang komunis di Kalimantan Utara sewaktu zaman darurat.

“Saya terpaksa masuk hutan seorang diri dan pergi ke rumah-rumah panjang untuk mendapatkan maklumat mengenai komunis,” katanya.

Bagi anak kelahiran Teluk Intan, Tharamalinggan, 64, pula, dia sangat seronok menyertai tentera dan tidak mempunyai sebarang masalah berkhidmat untuk negara tercinta walaupun terpaksa bekerja keras pada ketika itu.

Dia yang pernah dihantar bertugas ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sangat bersyukur apabila dianugerahkan PJM.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Panglima Angkatan Tentera kerana sangat prihatin terhadap kebajikan pesara tentera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");