Perak Hari Ini

Kerajaan negeri tidak tahu wujudnya fail senarai syarikat terima konsesi balak

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau tidak tahu sama ada wujudnya fail yang mengandungi senarai nama-nama syarikat yang mendapat konsesi balak yang kononnya ada kaitan dengan pemimpin kerajaan Pakatan pembangkang ketika 11 bulan memerintah Perak.

Katanya beliau tidak akan tahu jika ada penyelewengan atau salahguna kuasa dalam pemberian konsesi balak seperti didakwa kerana perkara tersebut berlaku semasa pemerintahan pembangkang.

“Kita tidak tahu (wujudnya fail). Ia berlaku di zaman mereka, kita tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.

Beliau diminta mengulas surat layang yang bertajuk “Apa yang terjadi kepada RM21.5 juta yang disumbangkan pembalak untuk konsesi pembalakan?” yang dipercayai diedarkan kepada 19 ADUN dan enam Ahli Parlimen DAP.

Isi surat layang tersebut yang menyenaraikan kesemua syarikat pembalakan serta peruntukannya, turut mendakwa bahawa DAP menerima 43 konsesi sementara PAS dan PKR masing-masing menerima 30 konsesi daripada kerajaan pembangkang selepas menerima ‘sumbangan’ RM21.5 juta daripada syarikat balak terbabit.

Menjawab satu soalan, beliau berkata terdapat prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang maklumat mengenai transaksi kerajaan dapat dikeluarkan.

“Setahu saya kerajaan akan mengeluarkan maklumat jika ada permintaan daripada masyarakat umum yang mahu mengetahui mengenai satu-satu perkara,” katanya.

Merujuk kepada tuduhan pembangkang bahawa surat layang itu adalah perbuatan kerajaan Barisan Nasional, Zambry percaya rakyat sudah dapat befikir dan menilai dengan matang akan kecenderungan pembangkang yang sering menyalahkan BN bagi mengalih perhatian masyarakat terhadap setiap pendedahan mengenai penyelewengan mereka.

“Menunding jari kepada BN adalah jalan keluar terbaik buat mereka. Malah BN juga dipersalahkan atas krisis dalaman yang berlaku dalam PKR.

“Perkara sama berlaku pada DAP Perak yang kini menghadapi masalah serius. Bagi mengalih perhatian, mereka menuduh BN bertanggungjawab mengedar surat layang tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai kandungan surat layang tersebut.

“Tidak sesuai saya ulas surat layang. Kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, Zambry berkata beliau berharap pembangkang akan menghormati alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang mendapati pemecatan V. Sivakumar dan perlantikan Datuk R. Ganesan bagi menggantikannya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, sah di sisi undang-undang dan tidak boleh dipersoalkan.

“Penghakiman itu jelas dan ringkas. Kita akan terus bergerak seperti biasa dan tidak mahu perkara seperti ini mengganggu fokus kita,” katanya.

Mahkamah Rayuan dalam alasan penghakiman yang dibuat pada 22 Jun lalu menyatakan bahawa ia tiada bidang kuasa untuk mencampuri urusan dalaman persidangan DUN Perak yang membawa kepada penyingkiran Sivakumar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");