Perak Hari Ini

Majlis perundingan ditubuh

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
[email protected]

IPOH 17 Okt. – Majlis Perundingan Mahasiswa Negeri Perak akan ditubuhkan bagi memberi peluang kepada anak muda untuk memberi pandangan ke arah memaju dan membangunkan negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, majlis yang antara lain bertujuan merealisasikan agenda Perak Amanjaya itu akan diberikan peruntukan awal sebanyak RM100,000 bagi menjayakan pelbagai aktiviti.

“Kerajaan negeri mahu memahami suara mahasiswa terutama anak-anak Perak. Mereka perlu dianggap sebagai rakan yang akan membangunkan dan mencorakkan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Perhimpunan Mahasiswa Anak Perak 2010 anjuran bersama Yayasan Perak di kediamannya semalam.

Kira-kira 1,000 mahasiswa hadir mengikuti program tersebut yang pertama kali diadakan dengan bertemakan Mahasiswa Menjana Transformasi.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Nadzri Ismail yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.

Dalam pada itu, Zambry berkata, mahasiswa perlu diperjelaskan dengan kebenaran dalam pelbagai isu dan tidak seharusnya mempercayai segala yang disampaikan dalam media baru secara bulat-bulat.

Menurut beliau, sebagai mahasiswa, mereka perlu bersifat terbuka dan sentiasa kritis untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak.

“Saya juga tidak mahu melihat polarisasi kaum berlaku di kalangan anak Perak sama ada melibatkan orang Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");