Perak Hari Ini

MB Perak Sokong Cadangan Model Politik Baru

IPOH, 17 Okt (Bernama) — Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyokong cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung usaha mewujudkan Model Politik Baru bagi menjadikan Umno parti yang lebih dinamik dan diterima umum.

Katanya hakikat landskap politik di negara sudah banyak berubah jika dibandingkan beberapa tahun lalu dan keadaannya sudah tidak sama seperti dahulu.

“Jika dahulu kita memperkatakan mengenai politik kemerdekaan dan politik pembangunan dan seterusnya politik kemajuan dan hari ini pendekatan yang akan diperkenalkan oleh beliau (Najib) akan menjadikan parti politik lebih dinamik dan tidak kaku,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kepimpinan Generasi Muda yang dianjurkan oleh Kelab Muda Oxcel Malaysia pada hari Ahad.

Najib yang juga Presiden Umno semalam mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Beliau berkata strategi seperti “politik pembangunan” tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.

Zambry berkata cadangan berkenaan sangat bertepatan kerana generasi kini tidak sama seperti dahulu dan pendekatan politik juga harus berbeza mengikut suasana global.

Katanya, pendekatan politik baru itu mungkin berasaskan nilai-nilai yang ada di dalam politik itu sendiri seperti menjadikan pemimpin politik itu sendiri sebagai sebahagian daripada masyarakat.

Menurutnya, matlamat perjuangan Umno tidak akan berubah tetapi yang berubah hanya metodologi dan persekitarannya sahaja agar menjadi lebih dinamik.

Beliau yakin Model Politik Baru dicadangkan oleh Perdana Menteri untuk menjadikan Umno sebagai satu parti politik yang dinamik akan diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

Di BUKIT MERTAJAM, Pulau Pinang, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata perwakilan Perhimpunan Agung Umno yang mengambil bahagian dalam perbahasan minggu depan digesa membincangkan cadangan mewujudkan Model Baru Politik bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Beliau berkata cadangan Model Baru Politik itu haruslah dilihat sebagai satu strategi baru Umno dan Barisan Nasional (BN) selaras dengan usaha pelan transformasi kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri itu.

Saifuddin berkata, kerangka model baru politik itu mempunyai dua komponen utama iaitu kerangka politik yang melibatkan perubahan dalam parti seperti pindaan perlembagaan dan kerangka urus tadbir yang melibatkan ketelusan dan usaha untuk menghapuskan rasuah.

“Kita mahu melahirkan pemikiran politik yang lebih progresif bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang lebih baik,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Majlis Belia Negeri di sini hari ini.

Katanya, mewujudkan bangsa Malaysia yang lebih baik itu pula merangkumi aspek-aspek seperti keadilan sosial, proses demokrasi yang lebih matang, membina tamadun Malaysia untuk generasi akan datang dan kelastarian alam sekitar.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");