Perak Hari Ini

Model Politik Baru perlu dikaji

IPOH 18 Okt. – Hasrat menjayakan Model Politik Baru perlu kajian yang teliti bagi memastikan pelaksanaannya bukan kerana terikut-ikut dengan rentak permainan politik pembangkang yang sentiasa mahu menampakkan UMNO lemah.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, bagi menjayakan hasrat tersebut, perkara yang penting ialah menangani masalah persepsi yang dilemparkan pembangkang terhadap parti itu.

“Kita bimbang jika perkara ini tidak diberi perhatian kita mungkin terperangkap dengan rentak permainan politik pembangkang yang sentiasa berusaha menggambarkan UMNO gagal melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengusulkan kemungkinan diwujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan UMNO sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, strategi seperti ‘politik pembangunan’ tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.

Hamidah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri berkata, kemampuan UMNO sebagai tonggak pentadbiran Malaysia telah terbukti sejak negara mencapai kemerdekaan.

Sehubungan itu, jelasnya, dakwaan pembangkang bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada rakyat adalah satu tohmahan yang seharusnya ditangani dengan berkesan.

“Jangan kita beri ruang atau gambaran seolah-olah kejayaan-kejayaan kita mengharungi pelbagai cabaran dalam negara dan di peringkat antarabangsa yang mendapat pujian dunia, sebagai satu tindakan yang tidak betul.

“Model Politik Baru itu nanti perlu berteraskan perkara yang telah kita bina di samping melakukan penambahbaikan demi memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat terus diberi keutamaan,” katanya.

Hamidah optimis sekiranya semua pihak mampu memainkan peranan masing-masing terutama dalam menyahut seruan pucuk pimpinan, setiap usaha yang dilakukan itu pasti akan membuahkan hasil seperti yang dikehendaki dan diharapkan rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");