Berita Hari Ini

Muhyiddin Jamin Agenda Bumiputera Terangkum Dalam 12 NKEA

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bahawa kesemua 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) telah mengambil kira agenda ekonomi bumiputera di negara ini.

Malah, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menegaskan bahawa Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan itu juga akan melindungi agenda Melayu dan mengekalkan dasar afirmatif bumiputera.

Justeru itu, beliau menyarankan agar semua pengusaha bumiputera tempatan mengambil peluang yang ada sebagai satu tawaran yang diberikan kepada mereka untuk terlibat secara aktif dalam sektor-sektor ekonomi yang sudah dikenalpasti.

“Kita telah pun mengadakan rumah terbuka untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat, bersama-sama melihat dengan lebih dekat apa yang terkandung dalam ETP (program transformasi ekonomi) yang menyentuh 12 NKEA yang dianggap penting kerana ianya terhasil daripada makmal yang dibentuk oleh kerajaan untuk menilai bidang-bidang yang boleh memacu ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.”

“Dan dalam perancangan yang dilakukan adalah berdasarkan 12 senarai NKEA itu juga turut terangkum aspek penyertaan Melayu dan bumiputera dalam setiap bidang ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada majlis hari raya bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini.

Pada majlis itu juga, beliau menyatakan sokongan kepada DPMM untuk menubuhkan makmal sosio-ekonomi Melayu yang boleh mengetengahkan usul dan cadangan konkrit dalam usaha membantu kerajaan ke arah masa depan yang lebih baik dari segi penyertaan Melayu dan bumiputera dalam bidang ekonomi.

Beliau berkata makmal itu juga dapat membantu kerajaan dalam mengenalpasti bidang-bidang ekonomi yang boleh disertai oleh pengusaha bumiputera dengan cara yang lebih berkesan.

“Saya ingin mengajak pimpinan DPMM bersama-sama pimpinan kerajaan untuk duduk secara kerap, meneliti satu persatu supaya dengan cara itu, masyarakat dan ahli DPMM tahu apakah sumbangan dan cara yang boleh mereka lakukan untuk menjayakan MBE yang tentunya antara lain menekankan agenda bumiputera,” katanya.

Terdahulu, Presiden DPMM, Syed Ali Al-Attas dalam ucapannya mencadangkan penubuhan sebuah makmal sosio-ekonomi yang akan dikendalikan oleh Yayasan Kajian Pembangunan DPMM.

“Satu kertas kerja akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri. Penubuhan makmal ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha memacu ekonomi negara ke arah berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");