Perak Hari Ini

Ngeh nafi jadi dalang

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Khoo Ham menafikan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kononnya beliau dan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dalang pemindahan pengundi dari Ipoh Timur, Ipoh Barat dan Batu Gajah ke Sungai Rapat.

Menurutnya, beliau telah memeriksa wakil DAP di kawasan itu dan mendapati mereka juga tidak terlibat dalam isu pemindahan pengundi berkenaan.

Katanya, BN yang terlibat dalam isu berkenaan dan cuba bermain kotor sebelum Pilihan Raya Umum akan datang, tetapi cuba mengalih perhatian rakyat di atas kesalahan yang dibuatnya.

“Zambry terlibat dalam sandiwara ini. Saya dapat khabar ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak lagi popular dalam kalangan pengundi dan cuba mencari alasan untuk keluar dan bertanding di Ulu Kinta dengan menteri besar sedang membantunya.

“Saya harap Zambry dan wakil itu dapat menjelaskan apa yang berlaku dalam UMNO daripada mengalihkan pandangan rakyat dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan media kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Khoo Ham berkata, beliau bimbang BN juga menjadi dalang pemindahan pengundi yang menyokong Pas dari kawasan Pasir Panjang ke Sitiawan.

“Ini disebabkan BN merasakan mereka gagal menewaskan DAP yang dimenangi sebanyak 8,529 undi pada 2008. Kami pernah membangkitkan isu BN cuba mengeluarkan penyokong Pas dan Pakatan Rakyat (PR) dari kerusi Pengkalan Baharu dengan majoriti 14 undi,” katanya.

Terdahulu Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendakwa bahawa Pakatan pembangkang mengguna pakai taktik kotor dengan memindah pengundi di kawasan yang mereka yakin menang.

Katanya dakwaan beliau itu berdasarkan maklumat yang diperolehi terdapat peningkatan pengundi secara tiba-tiba di kawasan DUN Sungai Rapat.

“Kita hairan bagaimana ada peningkatan pengundi secara tiba-tiba di DUN Sungai Rapat. Tidak salah jika saya katakan ini perbuatan mereka (pembangkang) kerana sepertimana yang kita tahu DUN ini berada di bawah parlimen yang dikuasai mereka (Parlimen Gopeng).

“Malah kita juga tahu DUN Sungai Rapat ini bersempadan dengan DUN yang dikuasai pembangkang (DUN Teja dan DUN Simpang Pulai),” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa terdapat perpindahan pengundi yang ramai secara senyap-senyap dari kawasannya ke DUN Sitiawan yang diwakili Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Khoo Ham.

Dalam kenyataannya, Nizar telah menuduh bahawa perpindahan pengundi ini adalah perbuatan Barisan Nasional bagi mengurangkan peluang Pakatan pembangkang untuk menang dalam pilihan raya ke-13.

Zambry berkata beliau tidak terkejut dengan tuduhan Nizar itu kerana memang sudah menjadi sikap pembangkang yang mempunyai “paranoid character” untuk menyalahkan BN bagi setiap perkara negatif yang berlaku.

“Menuduh ianya perbuatan BN memang sudah menjadi perkara biasa buat mereka. Mereka ini golongan yang tidak ada maruah kerana sanggup menipu rakyat semata-mata untuk jadi ahli politik yang hebat.

“Pada saya mereka ini mempunyai mulut yang sangat celupar kerana menuduh BN bagi menutup setiap kepincangan yang berlaku dalam parti mereka dan perebutan kuasa sesama mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");