Perak Hari Ini

IDR-Pastikan Perak Aman Jaya Capai Sasaran

Bagi memastikan pelan transformasi Perak Aman Jaya berjalan lancar, sebuah jawatankuasa pemandu akan ditubuhkan dan bakal dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat tiga bulan sekali bagi memantau perkembangan tujuh ‘task force’ yang bertanggungjawab mengendalikan badan-badan pelaksana yang terdiri daripada pelbagai jabatan, agensi kerajaan serta NGOS di pelbagai peringkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Aminuddin Hashim berkata, setiap ‘task force’ ini pula akan diketuai oleh seorang pengerusi ahli majlis jawatankuasa kerja negeri (exco) termasuk Setiausaha Kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sessi taklimat terkini berkaitan perkembangan Perak Amanjaya yang disampaikan Ketua Unit Strategi dan Komunikasi IDR,  Roslan Abdullah di Bangunan PTTC, dekat Jelapang, hari ini.

Beliau berkata, Perak Amanjaya adalah pelan transformasi negeri yang diperkenalkan bagi melahirkan lebih ramai individu berkualiti dari segi kemahiran, keilmuan dan jati diri.

“Jika negeri ini mempunyai rakyat yang berkualiti, matlamat untuk meletakkan Perak sebagai negeri yang mempunyai pendapatan tinggi akan lebih mudah dicapai,” katanya.

Katanya, antara langkah yang diambil untuk mencapai matlamat itu adalah dengan memastikan rakyat diberi peluang, pendapatan dan kehidupan yang berkualiti.

Kerajaan negeri wujudkan makmal untuk capai agenda Perak Amanjaya

Sembilan makmal bakal diwujudkan bagi menjayakan agenda pelan pembangunan Perak Amanjaya untuk menjadikan Perak negeri ekonomi berpendapatan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR) Aminudin Hashim berkata pengwujudan makmal itu bertujuan memastikan tujuh Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang menjadi dasar teras Perak Amanjaya mencapai matlamatnya.

Katanya pertemuan dan perbincangan bagi kesembilan IDR dijangka selesai Disember ini.

Setakat ini satu makmal bagi membincang dan mengupas dasar teras bertajuk generasi muda yang aktif dan partisipatif kini sedang berjalan di Lumut sejak Ahad lalu.

“Makmal ini disertai 30 orang yang mewakili pelbagai jabatan, syarikat swasta dan NGO yang berperanan mengupas dan memberi input mereka yang berkaitan dengan generasi muda.

“Setiap yang dibincangkan akan didokumentasi dan masyarakat umum dijemput untuk memberi maklumbalas mereka mengenai apa yang terhasil melalui makmal ini semasa hari terbuka IDR yang akan kita perkenalkan nanti.

“Segala input akan kita kaji sebelum diterjemahkan dalam bentuk program yang akan kita laksanakan,” katanya.

Tujuh teras tumpuan yang digariskan di bawah Perak Amanjaya adalah agihan dan pembangunan seimbang; masyarakat berkemahiran, berilmu dan berintegriti; negeri dan kerajaan pemangkin; jalinan perpaduan masyarakat; angkatan generasi muda yang aktif dan partisipatif; yayasan dan gagasan sektor swasta yang mapan dan amalan mesra alam dan kelestarian sumber.

Aminudin berkata pendekatan makmal tersebut itu tidak hanya menumpukan kepada strategi dan idea semata-mata tetapi turut menekankan bagaimana cara untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Menjawab satu soalan, Aminudin berkata Yayasan Bina Upaya yang ditubuhkan untuk mengupaya golongan miskin merupakan salah satu produk Perak Amanjaya di bawah penstrukturan semula masyarakat bagi mencapai agihan dan pembangunan seimbang.

“Berdasarkan pencapaian Yayasan Bina Upaya dalam membantu golongan miskin setakat ini, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa ianya merupakan salah satu permulaan kepada kejayaan pelan Perak Amanjaya,” katanya.

Di bawah teras sama juga, katanya IDR sedang dalam proses mewujudkan kerjasama bersama Lembaga Pelaksana Koridor Utara (NCIA) bagi membina asrama Amanjaya yang bertujuan menghasilkan modal insan berkualiti tinggi.

“Pelajar dari keluarga miskin yang terpilih mengikuti program pendidikan di asrama akan dihantar ke sekolah tertentu dan mereka juga akan berpeluang mengikuti program khas antaranya sukan, English Cambridge, Kumon dan bahasa Mandarin.

“Apa yang kita harapkan pelajar yang mengikuti modul pendidikan yang ditetapkan akan menjadi individu berkualiti dari semua segi. Apa yang kita lakukan ini adalah mewujudkan peluang kerana dengan adanya peluang seseorang itu dapat mengasah bakat dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Ditanya mengenai tahap kefahaman orang ramai mengenai kewujudan dan peranan IDR, Aminudin berkata walaupun ada yang tahu, masih ramai yang kurang faham malah tidak tahu apa itu IDR.

“Justeru, kita harap dapat mengatasi masalah ini melalui hari terbuka yang bakal kita adakan selewat-lewatnya Januari ini. Selain peringkat negeri, kita akan turun ke daerah-daerah bagi memastikan orang ramai boleh mengenali IDR,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");