Perak Hari Ini

Perak Bakal Perkenal Modul Pengangkutan Awam Hubungkan Semua Daerah

SUNGAI SIPUT, 11 Okt (Bernama) — Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang mengkaji modul baru sistem pengangkutan awam bagi menghubungkan semua kawasan di setiap daerah di Perak, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata UPEN sedang mencari pendekatan dalam menyediakan dan memberi kemudahan sistem pengangkutan yang lebih sistematik kepada penduduk.

“Kita ingin mengalakkan rakyat supaya mengubah pendekatan dan pemikiran mereka agar tidak lagi menggunakan kereta atau motosikal untuk perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, sebaliknya gunalah kenderaan awam.

“Cuma masalah sekarang ini, tidak ada pengangkutan awam yang masuk ke daerah-daerah dan kampung-kampung. Malah, ada daerah yang langsung tidak ada pengangkutan awam seperti di daerah Manjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kumpulan Bas Perak (KBP) Sdn Bhd di sini Isnin.

KBP menawarkan perkhidmatan bas di laluan Ipoh-Chemor-Sungai Siput-Kuala Kangsar.

Dr Zambry berkata sebagai permulaan, modul baru sistem pengangkutan awam dicadang diperkenalkan di Manjung dan Kerian.

Beliau berkata selaras dengan pengenalan modul itu, pengusaha bas disaran menggunakan bas berlantai rendah dan lebih mesra pengguna berbanding bas lama yang mempunyai lantai lebih tinggi yang menyukarkan mereka terutama golongan warga emas dan orang kelainan upaya.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr Zambry berkata untuk menjadikan Perak negeri maju, kerajaan negeri telah menyediakan beberapa pelan bagi meningkatkan mutu keseluruhan sistem pengangkutan awam.

Antaranya, membina Terminal Bersepadu Ipoh (TBI) yang menghubungkan Stesen Bas Medan Kidd hingga ke stesen kereta api.

Beliau berkata ia selaras dengan matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menyediakan kemudahan pengangkutan awam terbaik kepada rakyat.

“Malah, ia akan menjadi misi Perak Aman Jaya untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan yang terbaik, selaras dengan NKRA kerajaan di bandar-bandar utama,” katanya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");