Perak Hari Ini

Perak negeri pertama ada perisian pengurusan PAC

IPOH 8 Okt. – Perak bakal menjadi negeri pertama mempunyai perisian pengurusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) apabila kajian mengenainya siap akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, perisian Penilaian Ukuran Pengetahuan PAC (PAC KEY) itu akan menjadi panduan bukan sahaja kepada PAC negeri tetapi PAC di seluruh negara.

Menurut beliau, perisian hasil penyelidikan oleh Pensyarah Kanan Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk kajian doktor falsafah itu juga akan menjadi kunci penambahbaikan kepada PAC Perak.

“Belum ada kajian dibuat oleh mana-mana universiti mengenai PAC dan Perak menjadi negeri pertama yang terpilih untuk dibuat kajian. Dengan adanya perisian ini kita akan dapat menyiapkan laporan-laporan terkini audit kewangan negeri sebelum dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat PAC Perak di sini hari ini.

Perisian PAC KEY dicipta oleh Pensyarah Kanan Kolej Perniagaan, UUM, Rose Shamsiah Samsudin untuk kajian ‘Fungsi PAC Dalam Menyemak dan Melapor ke Atas Penyata Kewangan Negeri Yang Telah Diaudit’.

Menurut Rose Shamsiah, PAC Perak dipilih kerana jawatankuasa itu berjaya membentangkan laporan audit kewangan negeri dari 2002 hingga 2007 pada sidang DUN baru-baru ini.

“Kebanyakan PAC negeri sering gagal atau lambat menyiapkan laporan audit kewangan. Maklumat yang dibentangkan pada sidang DUN biasanya sudah lapuk.

“Tetapi PAC Perak berjaya menyiap dan membentangkan laporan yang agak baru. Jadi PAC Perak dipilih untuk kajian ini dan kita mencipta perisian yang bakal menjadi panduan kepada semua PAC,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Raja Ahmad Zainuddin memberi amaran kepada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini supaya memaklumkan segera kepada Setiausaha Kerajaan Negeri jika gagal menghadirkan diri ke mesyuarat PAC.

Tegas beliau, PAC memandang serius perkara tersebut kerana ia mengganggu kelancaran proses mengaudit serta kesukaran mendapat maklum balas.

Menurutnya, tindakan itu juga diibaratkan sebagai tidak menghormati jawatankuasa tersebut sekali gus mengganggu proses berurusan dengan jabatan atau agensi berkaitan.

“Sekiranya mana-mana ketua jabatan tidak datang, maknanya dia tidak menghormati jawatankuasa serta jawatannya. Dia tidak bertanggungjawab.

“Kita panggil bukan untuk menghukum tetapi untuk meningkatkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Jadi kalau kita panggil, ketua jabatan itu mesti datang kecuali dia ada masalah yang tidak dapat dielakkan tetapi perlu maklumkan lebih awal,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");