Perak Hari Ini

Perak tumpu tiga aspek utama wanita

IPOH 10 Okt. – Kerajaan negeri akan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama membabitkan wanita iaitu masalah sosial, keusahawanan dan kesihatan dalam Bajet 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, pelbagai program berkaitan tiga aspek itu akan dilaksanakan sepanjang tahun dan ia akan melibatkan peruntukan tidak kurang RM2 juta.

”Baru-baru ini, kita adakan satu sesi dialog dengan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan wanita serta Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri (MPWKN) Perak.

”Kita bincangkan pendekatan serta program yang harus kerajaan negeri lakukan dan kita telah merumuskan tiga aspek yang akan diberikan penekanan secara total iaitu masalah sosial, keusahawanan dan kesihatan terutamanya barah payu dara dan servik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan kempen derma darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Perak dan Tabung Darah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PBSM Cawangan Perak, Datuk Mohamad Rafiai Moktar dan Timbalannya, Md. Adnan Md. Hashim.

Pada program itu, Hamidah turut menderma darah dan menyumbangkan peruntukan RM3,000 kepada PBSM Cawangan Perak.

Mengulas lanjut, Hamidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat berkata, kerajaan negeri serius untuk menangani gejala sosial yang berpunca daripada pergaulan serta seks bebas di kalangan remaja belum berkahwin.

Katanya, kempen kesedaran secara besar-besaran akan dilakukan secara menyeluruh sepanjang tahun depan.

”Ini termasuk ceramah-ceramah di sekolah menengah, kilang serta kempen dalam bentuk poster, kain rentang dan papan iklan,” ujarnya.

Mengenai aspek keusahawan pula, katanya, pasar malam wanita berkonsepkan uptown akan diwujudkan di setiap daerah bagi membolehkan golongan ibu tunggal dan suri rumah meraih pendapatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");