Berita Hari Ini

Percaya, yakin jadi pegangan saya: PM

7 projek dilaksana bawah pelan tindakan ETP

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sikap percaya dan yakin pada kemampuan diri sendiri menjadi faktor utama bagaimana beliau mampu berdepan pelbagai situasi mencabar sepanjang berada dalam dunia politik serta pentadbiran kerajaan selama 35 tahun.

Perdana Menteri mengakui pernah menempuh pengalaman dan liku hidup yang hampir mengecewakan dirinya, namun sikap percaya dan yakin untuk terus bangun menjadi pegangannya, tidak mematahkan semangat beliau untuk terus berjaya dalam hidup.

“Saya percaya jika kita yakin pada diri sendiri, kita seharusnya mampu mengatasi kejatuhan atau kekalahan. Mungkin baik untuk kalah pada mulanya kerana kita akan belajar. Apa yang penting kita berupaya untuk pulih semula.

“Saya pernah mengalaminya pada 1999 apabila majoriti undi pada pilihan raya umum yang saya terima merosot teruk, iaitu hanya 241 undi dan saya sendiri tidak faham kenapa ia berlaku.

“Ia bukan disebabkan masalah peribadi, namun saya percaya saya boleh bangkit semula dan pada Pilihan Raya Umum 2004 saya mendapat kembali majoriti tertinggi, iaitu 26,464 undi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai pengalamannya berada dalam dunia politik dan pentadbiran kerajaan dalam program Perbincangan Bersama Perdana Menteri pada majlis Forum Kepemimpinan ASEAN 100 di sini, semalam.
Sementara itu, Najib berkata, kerajaan bersedia melaksanakan tujuh projek yang dikenal pasti di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) tidak lama lagi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tujuh projek itu adalah sebahagian daripada 131 projek permulaan dikenal pasti di bawah pelan tindakan ETP yang dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, beberapa projek utama bakal dilaksanakan di bawah ETP menyediakan pemangkin besar untuk pasaran dan ekonomi negara.

Sambil mengambil contoh projek sistem transit aliran pantas (MRT) bandar bersepadu menghubungkan Malaysia-Singapura, beliau berkata, ia adalah antara projek yang mempunyai kesan besar terhadap ekonomi apabila projek itu bermula.

“Jika kita mempunyai projek sedemikian, ia mampu menambah antara 0.6 hingga 0.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Najib berkata, ETP yang menjadi satu daripada elemen dalam Model Baru Ekonomi (MBE) yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi adalah antara inisiatif penting yang turut sama membabitkan pihak swasta.

Beliau berkata, ETP memerlukan pelaburan sebanyak RM1.4 trilion dan 92 peratus daripadanya dijangka daripada pelaburan swasta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");