Perak Hari Ini

Polis perlu bantuan masyarakat

Polis memerlukan kerjasama masyarakat awam bagi memastikan kadar jenayah dan masalah sosial dapat dikawal secara menyeluruh di setiap kawasan atau daerah.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata kerjasama daripada setiap lapisan masyarakat penting kerana golongan itu mampu menjadi mata dan telinga kepada polis supaya langkah membasmi jenayah serta masalah sosial di tempat masing-masing lebih berkesan.

“Pembabitan masyarakat dalam Program Komuniti Polis amat penting kerana program ini akan memberi pendedahan kepada mereka bahawa masyarakat umum mampu membantu polis dalam usaha menangani jenayah, sekali gus mengurangkan indeks jenayah semasa.

“Ini secara tidak langsung dapat mewujudkan rasa senang di kalangan masyarakat yang terbabit kerana bersama-sama pasukan polis untuk membanteras jenayah dan dapat mewujudkan suasana harmoni,” katanya berucap di majlis pelancaran Program Komuniti Polis Peringkat Polis Tambun yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah di sini, baru-baru ini.

Zulkifli berkata, program itu sudah diwujudkan di 15 daerah seluruh negeri dan pihaknya bercadang untuk meneruskan program itu di 34 lokasi di daerah lain seluruh Perak.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan semua pihak terbabit dan bersama-sama menangani masalah jenayah setempat.
Beliau berkata, masih ada segelintir masyarakat yang mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap program dijalankan sedangkan ia mampu memberi kebaikan bersama.

“Justeru, saya berharap lebih ramai golongan muda turut serta dalam program itu. Usaha menangani jenayah perlu dilaksanakan secara berterusan terutama di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Husni berkata, kestabilan negara dicapai hasil daripada komitmen pasukan keselamatan seperti polis untuk menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang negara.

Katanya, rakyat harus bekerjasama dengan polis secara berterusan kerana hasil bantuan orang ramai mampu meningkatkan lagi keberkesanan pasukan itu dalam menangani jenayah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");