Perak Hari Ini

Polis Perlu Lakukan Transfromasi Berterusan Untuk Capai NKRA

PANTAI REMIS, 30 Sept (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan transformasi secara berterusan bagi memastikan sasaran bidang keberhasilan utama negara (NKRA) yang telah ditetapkan kepada pasukan itu iaitu pengurangan kadar indeks jenayah sebanyak lima peratus dan jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun 2010 akan tercapai.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Abdul Razak Bokhari berkata sejajar dengan itu penstrukturan semula organisasi beruniform ke arah pemodenan pasukan tersebut dilihat penting bagi mencapai sasaran tersebut.

“Kerjasama orang awam penting bagi membantu pihak polis menjalankan tugas dengan berkesan…dalam usaha menangani jenayah juga amat diperlukan,” katanya ketika berucap merasmikan Balai Polis Pantai Remis, di sini Khamis.

Hadir sama ialah Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah, mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar dan Orang Besar Jajahan Manjung Datuk Abdul Wahab Azizul Hassan.

Bangunan balai polis baru yang bernilai RM12,451,820 siap dibina pada 1 Dis tahun lepas dan beroperasi sepenuhnya pada 3 Dis tahun yang sama bagi menggantikan balai polis lama yang terletak di Pengkalan Baru, Pantai Remis.

Sementara itu, Zulkifli berkata kadar jenayah indeks bagi tahun 2009 dan 2010 di Pantai Remis telah menurun sebanyak 39 peratus.

“Pada tahun lepas, sebanyak 130 kes dilaporkan manakala hanya 39 kes dicatatkan dari Januari hingga September tahun ini menjadikan kadar penurunan 39 peratus.

“Jenayah boleh dibendung dengan kerjasama daripada orang awam di mana melalui pendekatan komuniti polis, jenayah dapat dibanteras dan persekitaran selamat dapat dinikmati bersama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");