Perak Hari Ini

RM1.2 juta barangan cetak rompak dirampas

Bagi tempoh Januari sehingga September lalu, sebanyak 178,863 barangan cetak rompak bernilai RM1.2 juta berjaya dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Perak.

Pengarahnya, Mohd Hilmi Mohd Noor, berkata, bagi tempoh itu, sebanyak 67 kes dilaporkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dengan 90,968 jumlah rampasan bernilai RM674,371 manakala bagi Akta Perihal Dagangan 1972 pula, 58 kes dilaporkan membabitkan 87,895 rampasan dengan nilai keseluruhan RM556,055.

“Bagi tempoh 2007 hingga September lalu, sejumlah RM396,000 dikeluarkan kepada pesalah yang melanggar kedua-dua akta itu,” katanya kepada pemberita di Ipoh semalam.

Terdahulu, Mohd Hilmi melancarkan Program Gerak Gempur Banteras Cetak Rompak dan Barang Tiruan peringkat negeri yang dihadiri lebih 200 peserta mewakili institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Bagi Akta Perihal Dagangan 1972- Barang Yang Menggunakan Perihal Dagangan Palsu, sebanyak 14 kes dilaporkan bagi tempoh sama dengan 47,517 jumlah rampasan bernilai RM982,400, kata Mohd Hilmi.

“Barangan tiruan yang dirampas ini menggunakan jenama popular seperti Adidas, Polo, Nike, Timberland dan Crocs,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 1,364 premis diperiksa dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, permintaan tinggi pengguna kata Mohd Hilmi antara punca utama yang membantutkan usaha kerajaan untuk membanteras cetak rompak dan barang tiruan secara berkesan.

Selain menguatkuasakan undang-undang, pendidikan kepenggunaan katanya, digunakan bagi mendidik generasi muda mengenai hak mereka sebagai pengguna.

Penubuhan Kelab Pengguna di setiap sekolah katanya, dapat melahirkan pengguna yang bijak bagi mencapai matlamat 1 Pengguna 1 Suara.

“Selain itu, kita mempunyai unit risikan bagi memantau kegiatan cetak rompak dan penjualan barang tiruan di seluruh negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah ini boleh terus menghubungi talian bebas tol 1800-886-800 untuk tindakan segera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");