Perak Hari Ini

RM100,000 untuk kempen keselamatan jalan raya

IPOH 10 Okt. – Kerajaan negeri semalam mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk menjalankan kempen kesedaran dan keselamatan jalan raya secara menyeluruh melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk di kalangan pelajar sekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kempen yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perak itu diharapkan dapat mengurangkan kadar kecederaan dan kemalangan yang berlaku di negeri ini.

“Saya yakin sekiranya kita dapat mewujudkan kesedaran ini, kita pasti dapat menjadi sebuah negeri yang mencatatkan kadar kemalangan paling minimum sekali gus menjadi negara yang mencatatkan angka terendah di dunia.

“Kemalangan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa, tetapi ia juga menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM9 bilion ringgit setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan program ‘Road Safety Walk’ Peringkat Negeri Perak di sini semalam.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli, Pengerusi MKJR Perak, Datuk Ramly Zahari, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan, Pengerusi Gerakan Perak, Datuk Chang Kou Youn dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Pada majlis tersebut, Zambry yang diiringi exco kerajaan negeri turut menyertai sekumpulan pelajar sekolah yang berjalan sejauh kira-kira 500 meter dari kediaman Menteri Besar ke Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz selepas melakukan aktiviti senam robik.

Selain itu, para pelajar turut menyaksikan lakonan tragedi kemalangan serta tindakan Zambry memusnahkan beberapa buah topi keledar yang tidak mengikut spesifikasi di atas jalan raya dengan menggunakan jentolak.

Sementara itu, diminta mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pemecatan bekas Speaker DUN, V. Sivakumar sebagai sah di sisi undang-undang serta tidak boleh dipersoalkan semalam, Zambry berkata, segalanya sudah jelas dan nyata berdasarkan alasan penghakiman yang dikeluarkan.

“Saya tidak perlu mengulas perkara ini dengan lebih lanjut kerana mahkamah sudah memutuskannya.

“Proses Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diteruskan seperti biasa dan saya tidak mahu rasa ‘terganggu’ dengan perkara tersebut,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");