Isu Panas

Soi Lek, Kit Siang dan Anwar patut Malu dengan Just Faaland

Tan Sri Just Faaland, salah seorang penggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) semalam menyatakan bahawa Semangat DEB wajar diteruskan melalui Model Baru Ekonomi (MBE). Kenyataan beliau adalah selari dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan peluang yang lebih adil kepada semua kaum di Malaysia.

Beliau merupakan ahli ekonomi yang kini bertugas sebagai Perunding Kanan Chr. Michelsen Institute (CMI) Norway dan terlibat secara langsung dalam penggubalan DEB melalui Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) selepas rusuhan kaum 1969.

Tidak ada nasihat yang lebih baik daripada nasihat dari orang yang berpengalaman. Sehingga kini, sesiapa sahaja yang pernah melalui dan memahami tragedi 13 Mei 1969 pasti bersetuju tentang pentingnya satu dasar yang mampu memastikan pengagihan ekonomi yang seimbang di dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia.

Dengan keputusan kerajaan untuk menekankan matapelajaran sejarah di sekolah-sekolah, kita harap bahawa tragedi 13 Mei juga diperbincangkan secara terbuka agar anak-anak kita dari berbilang kaum memahami akibat jika termakan hasutan musuh-musuh dalam selimut.

Pemimpin dari semua kaum harus ikhlas menyeru kaum masing-masing agar menerima hakikat yang berlaku pada tarikh tersebut dan tidak cuba memanipulasi sejarah demi kepentingan kaum sendiri.

Masalah perkauman yang berbangkit akhir-akhir ini bukan dibangkitkan oleh rakyat tetapi oleh pemimpin sesetengah kaum sendiri terutamanya dari parti pembangkang yang suka menafikan sejarah.

Pemimpin-pemimpin sengaja menimbulkan keraguan terhadap rekod sejarah negara bagi membangkitkan perasaan syak wasangka, kebencian, dendam dan khianat antara kaum.

Pemimpin sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan negaranya aman dan raknyat atau kaumnya dapat hidup dalam kesejahteraan.

Namun, tindakan pemimpin-pemipin parti pembangkang di Malaysia, amatlah bertentangan. Merekalah yang tidak jemu-jemu cuba menghasut, memburukkan negara, mencetuskan huru-hara dan sebagainya.

Secara dasarnya, kita dapati banyak usaha-usaha untuk mengubah fakta sebenar tentang apa yang berlaku pada 13 Mei dan juga keganasan komunis.

Semuanya dilakukan dengan niat untuk memburukkan kerajaan seolah-olah kerajaan sengaja memalsukan sejarah dan sengaja memburukkan kaum Cina. Terdapat beberapa blog malah buku juga yang menulis tentang ‘keperwiraan tokoh-tokoh’ komunis dalam memerdekakan negara.

Blog-blog tersebut cuba mengundang rasa simpati terhadap komunis seolah-olah kerajaan telah menganiaya dan menafikan ‘jasa’ mereka terhadap negara ini.

Hasutan seperti ini harus dihentikan segera dan semua yang terlibat menyebarkan sejarah palsu ini harus ditangkap dan dikenakan tindakan. Jika ia terus dibiakan atas nama hak bersuara, maka rakyat berbilang kaum di Malaysia akan terus hidup dalam prasangka dan keraguan sesama sendiri.

Menghapuskan prasangka sesama kaum adalah tanggungjawab pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN.

Malang sekali, ada segelintir pemimpin parti-parti komponen BN akhir-akhir ini gemar bersuara senada dengan pembangkang dan pemimpin-pemimpinnya sendiri penuh dengan prasangka.

Pemimpin-pemimpin semua kaum di Malaysia harus merenungkan kembali kata-kata Tan Sri Faaland mengenai DEB dan pentingnya dasar pengagihan ekonomi yang sama rata.

Ia tidak bermakna kesamarataan total kerana kesamarataan total hanya akan memastikan agihan ekonomi yang sudah sedia berat sebelah menjadi semakin parah.

Akibatnya, satu kaum akan menguasai 100% ekonomi Malaysia sekali gus menjadi pencetus bom jangka prasangka, dendam dan iri hati yang telah lama terhasut dalam diri rakyat negara ini.

Seruan PM ke arah perpaduan adalah seruan yang mulia. Sesiapa yang memperlekehkan seruan tersebut ternyata pemimpin yang berniat jahat dan ingin melihat huru-hara di dalam negara.

Rakyat harus membuka mata dan bijak menilai pemimpin atau parti mana intan dan parti mana kaca.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");