Perak Hari Ini

Stigma Masyarakat Halang Pemulihan Kesihatan Mental – Raja Dr Nazrin

IPOH, 10 Okt (Bernama) — Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah bahawa stigma masyarakat terus menjadi penghalang kepada pemulihan kesihatan mental dan keadaan ini wujud akibat salah tanggapan tentang punca dan jenis penyakit mental, yang lazimnya dianggap sebagai kelemahan peribadi seseorang atau disebabkan gangguan makhluk ghaib.

Oleh itu, titah baginda, stigma yang wujud terhadap penyakit itu perlu segera diatasi kerana stigma sedemikian sering menghalang manusia daripada tampil untuk mendapatkan pertolongan.

“Menurut Laporan Pendaftar Pesakit Skizofrenia 2003-2005, Pejabat Pendaftar Kesihatan Mental Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, pesakit mengambil masa purata 28 bulan daripada tarikh gejala berkenaan mula menampakkan dirinya, untuk mendapatkan rawatan. Dalam kebanyakan kes, penyakit ini telah sampai ke tahap kritikal.

“Tapi, wajarkah mereka ini dipersalahkan? Selalunya, mereka yang mengalami gangguan mental dicemuh, dipulaukan dan ditindas. Mereka dianggap memalukan keluarga. Beta rasa kita semua bersetuju bahawa stigma tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat Malaysia,” titah Raja Dr Nazrin ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Kesihatan Mental Perak Kelapan di sini Ahad.

Konvensyen tiga hari itu, yang bertemakan “Berganding Bahu Demi Kesihatan Mental”, dianjurkan Jawatankuasa Kempen Kesihatan Mental Perak untuk memberi gambaran menyeluruh yang berkualiti tinggi tentang kecelaruan mental serta isu berkaitan kesihatan mental di Malaysia.

Baginda bertitah untuk menghapuskan stigma ini, masyarakat perlu memiliki kesedaran mendalam tentang penyakit mental dan semua pemegang kepentingan perlu memainkan peranan masing-masing.

Titah Raja Dr Nazrin golongan yang terlibat dengan penjagaan kesihatan perlu komited untuk memberi maklumat lengkap kepada pesakit serta keluarga mereka tentang penyakit itu untuk menghapuskan sebarang sikap negatif yang mungkin wujud dalam diri mereka.

Baginda bertitah kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan yayasan amal perlu melaksanakan program secara terfokus untuk mendampingi masyarakat dan mendidik mereka tentang keadaan sebenar penyakit mental.

“Idealnya, ia patut bermula di sekolah. Oleh kerana kebanyakan sikap negatif mula terbentuk ketika seseorang itu masih kecil, maka kanak-kanak perlu diajar untuk mengenali gejala masalah mental dan memahami masalah orang di sekeliling mereka yang mengalaminya.

“Maklumat boleh menghapuskan ketakutan. Oleh itu, masyarakat Malaysia perlu dibimbing supaya melihat penyakit mental sebagai penyakit yang tiada bezanya dengan penyakit lain. Dan mereka tidak boleh memberi respons terhadapnya dalam bentuk prejudis, tetapi dengan perasaan kasih sayang,” titah baginda.

Baginda bertitah Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga menunjukkan bahawa kini semakin banyak rakyat Malaysia mengalami masalah mental berbanding 10 tahun lepas.

“Kini, kecelaruan mental dialami oleh seorang daripada setiap sembilan orang dewasa dan seorang daripada setiap lima kanak-kanak. Lebih menakutkan apabila kaji selidik itu membayangkan lebih 40 peratus rakyat Malaysia berkemungkinan mengalamai kecelaruan mental dalam tempoh hayat merka.

“Penyakit mental merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah beban penyakit yang wujud di Malaysia, selepas penyakit jantung iskemia. Tetapi, sebahagian besar kes ini tidak didiagnos atau dirawat dengan secukupnya,” titah baginda.

Raja Dr Nazrin bertitah dikotomi terbesar yang wujud antara penyakit mental dan penyakit fizikal serta kecacatan ialah mereka yang mengalami masalah mental seperti skizofrenia, kecelaruan dwikutub, kemurungan, epilepsi dan masalah mental yang wujud dalam kalangan kanak-kanak serta remaja, tidak begitu mendapat perhatian oleh masyarakat dan perkiraan ekonomi.

“Mereka sering dipinggirkan oleh masyarakat, tidak diambil kira daripada segi penjanaan pendapatan, guna tenaga dan peluang pendidikan. Mereka terdedah kepada stigma dan penindasan serta dihalang daripada menyertai aktiviti kemasyarakatan,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah menurut anggaran, kira-kira 60 peratus pesakit mental yang teruk di negara ini tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan dan sosial, tidak sampai dua peratus daripada jumlah bajet kesihatan negara ini diperuntukkan kepada kesihatan mental dan insurans kesihatan pula tidak meliputi penyakit mental.

Baginda bertitah peluang pendidikan juga sering meminggirkan mereka yang mengalami penyakit mental sedangkan perbuatan memencilkan kanak-kanak yang mempunyai masalah mental daripada peluang pendidikan bukan sahaja suatu penindasan, tetapi juga menyekat mereka daripada menikmati kemudahan sosial.

Titah baginda pengangguran dalam kalangan mereka yang mengalami masalah mental adalah amat tinggi iaitu antara 70 dan 90 peratus, berbanding mereka yang mengalami kecacatan fizikal atau penyakit lain.

“Semua ini menghalang golongan yang mengalami masalah mental daripada menyertai kegiatan kemasyarakatan. Mereka tidak mempunyai suara. Malah, mereka sering disekat daripada menikmati kemudahan asas.

“Lebih teruk lagi, mereka menjadi mangsa penindasan hak asasi manusia seperti didera dan dikurung. Bagaimanapun, hakikat yang menyedihkan ialah sebenarnya kelemahan mereka bukan tidak boleh diatasi, tetapi wujud kerana keadaan sosial yang mengelilingi kehidupan mereka,” titah baginda.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");