Isu Panas

Susun Industri Air Di Selangor Demi Kepentingan Rakyat

Putrajaya, 30 Sept – Kerajaan Persekutuan menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor bahawa penswastaan perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor pada 1 Januari 2005 adalah untuk menswastakan keuntungan dan membiarkan kerugian ditanggung oleh rakyat.

Hakikatnya, usaha penswastaan yang dibuat melalui perjanjian konsesi ini dilaksanakan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan di negeri tersebut yang sebelum ini menghadapi masalah kekurangan dana untuk menampung kos operasi sehingga kerajaan negeri dibebani jumlah hutang yang tinggi.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui berkata, masalah tersebut juga telah menyebabkan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat terjejas dengan kadar air tidak berhasil meningkat sehingga 42.78% manakala kualiti air telah merosot.

“Walau bagaimanapun, kerajaan negeri sekarang pula berhasrat untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air dengan alasan untuk melaksanakan model holistik. Atas permintaan kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan telah memberi tempoh masa yang mencukupi bagi melaksanakan pengambilalihan tersebut.

“Namun begitu, sehingga akhir tahun 2009, kerajaan negeri masih tidak dapat memuktamadkan pengambilalihan yang dicadangkan. Sebaliknya, kerajaan negeri telah meminta Kerajaan Persekutuan memaksa syarikat-syarikat yang terlibat menerima harga yang ditawarkan olehnya.

“Hakikatnya Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa syarikat-syarikat konsesi menerima harga yang ditawarkan kecuali harga tersebut telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada UMNO-online.

Memandangkan perjanjian konsesi air di negeri Selangor masih sah dan berkuatkuasa, jelas beliau pengambilalihan tersebut perlu dilaksanakan berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini termasuk Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan berasaskan prinsip “willing buyer, willing seller”.

“Selaras dengan kehendak-kehendak tersebut, jika model yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor diteruskan, kos pengambilalihan secara “willing buyer, willing seller” yang melibatkan pengambilalihan aset dan ekuiti akan berada pada paras sangat tinggi yang sudah tentu menyebabkan kenaikan tarif air diselaraskan pada kadar yang lebih tinggi dan sudah pasti akan membebankan rakyat”, katanya.

Sehubungan itu, kata beliau Kerajaan Persekutuan telah mencadangkan satu model yang menawarkan pelarasan kadar tarif yang lebih munasabah berbanding dengan perjanjian konsesi sedia ada dan model holistik kerajaan negeri.

Jelasnya model yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan akan membenarkan syarikat-syarikat konsesi meneruskan operasi sehingga tamat tempoh konsesi berasaskan model asset light dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada aspek operasi dan penyelenggaraan (O&M).

“Aspek ini akan dikawal selia sepenuhnya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), kos operasi dan kadar keuntungan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Bagi pembiayaan modal pula, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang tidak bermotifkan keuntungan akan melaksanakan tanggungjawab tersebut termasuk mengambil alih aset dan liabiliti air sedia ada yang masih terikat dengan pemberi pinjaman termasuk pemegang bon”, ujarnya.

Dalam hal ini, tegas beliau Kerajaan Persekutuan sentiasa bersikap terbuka dengan sebarang cadangan untuk menyusun semula industri perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor sekiranya memberikan manfaat kepada rakyat dan praktikal untuk dilaksanakan.

“Oleh yang demikian, Kerajaan Persekutuan tiada halangan jika Kerajaan Negeri Selangor mampu dan berjaya mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi air di negeri tersebut secara “willing buyer, willing seller” pada kadar yang munasabah dan tidak menyebabkan kenaikan kadar tarif yang tinggi,” tambahnya lagi.

Sehubungan dengan itu, Kementerian ingin menegaskan bahawa penyusunan semula ini perlu disegerakan dan sewajarnya atas kepentingan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor perlu bekerjasama dan menyokong sepenuhnya inisiatif yang diusahakan oleh Kerajaan Persekutuan ini.

Oleh : Mohd Faizal Mohd Salleh
www.umno-online.com

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");