Perak Hari Ini

Syarikat Bas Negeri Dinasihati Bersaing Secara Sihat

Syarikat bas yang beroperasi di negeri ini dinasihati supaya bersaing secara sihat dan menyediakan jadual tersusun bagi mengelak pertindihan di laluan sama yang akhirnya akan merugikan mereka sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata adalah lebih jika sekiranya syarikat bas menjalin kerjasama dan bermuafakat sesama mereka bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian kenderaan baharu Syarikat Kumpulan Bas Perak di Sungai Siput, hari ini.

“Saya ingin mencadangkan kepada syarikat bas yang melalui laluan bertindih ini supaya bekerjasama bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Semua syarikat yang terbabit boleh meraih nikmat jika mereka boleh mengadakan jadual di antara mereka untuk laluan-laluan berkenaan.

“Sebagai contoh jika ada tiga buah syarikat yang melalui laluan itu, bas syarikat ‘A’ boleh bermula pada jam 9 pagi, bas syarikat ‘B’ bertolak pada 9.30 pagi, dan bas syarikat ‘C’ bergerak pada 9.45 pagi.

“Melalui cara ini, pengguna akan mendapat faedah melalui kekerapan perjalanan bas yang berjadual lagi konsisten,” kata Dr. Zambry.

Sementara itu, Dr. Zambry berkata perkhidmatan bas di negeri ini masih banyak perlu  diperbaiki terutamanya di kawasan daerah.

Ujarnya, kebanyakan daerah langsung tidak mempunyai sistem pengangkutan awam dan masalah ini sudah lama berlarutan tanpa sebarang perubahan positif.

“Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah menyediakan laporan kajian mereka kepada kerajaan negeri tetapi ia perlu diperhalusi kerana kita mahu  memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

“Kita sedang menimbang cadangan memberi bantuan dalam bentuk subsidi atau ekuiti kepada syarikat yang akan mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam itu nanti,” tambah Dr. Zambry.

Kerajaan negeri juga katanya, akan melantik hanya satu syarikat untuk mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam bagi memudahkan kerja pemantauan operasi.

“Bukan mudah untuk kita melantik mana-mana syarikat menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini kerana ia bukan satu perniagaan yang mengutamakan keuntungan semata-mata.

“Yang lebih penting, kita mahu menyediakan sistem pengangkutan awam yang selesa dan cekap kepada rakyat,” kata Dr. Zambry.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");