Berita Hari Ini

Teks Ucapan Penuh Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin

1. Marilah kita dahului dengan sembah tahmid kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat kurniaNya yang telah membolehkan kita mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2010.

2. Saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada para perwakilan yang terus setia mengikuti persidangan kita pada tahun ini, yang merupakan satu persidangan yang amat penting bagi memperkukuhkan agenda perjuangan UMNO.

3. Sepanjang persidangan ini berlangsung, usul-usul mengenai Ucapan Dasar YAB Presiden, ekonomi, pendidikan dan agama telah dibahas secara tuntas oleh para perwakilan.

4. Menurut amalan UMNO, usul-usul ini telah pun melalui proses perbahasan di peringkat cawangan dan bahagian, yang seterusnya dibawa ke Perhimpunan Agung. Maknanya, usul-usul yang telah diluluskan dan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para pembahas ssebenarnya mewakili suara lebih 3 juta ahli UMNO di seluruh negara.

5. Bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan parti, kita akan memperhalusi cadangan-cadangan ini bagi memastikan suara akar umbi dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan program yang akan memperkukuhkan parti. Ia juga akan menjadi panduan kepada saf kepimpinan parti tatkala merumuskan dasar-dasar dan pendekatan yang akan memastikan kelangsungan perjuangan UMNO, sesuai dengan hasrat yang telah dilontarkan oleh YAB Presiden dalam ucapan dasar beliau.

6. Malah, saya akan mencadangkan kepada YAB Presiden dan Majlis Tertinggi parti agar kita dapat membuat satu laporan yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung akan datang, mengenai tindakan-tindakan yang telah diambil dan pencapaian-pencapaian yang terhasil daripada cadangan-cadangan yang dikemukakan pada Perhimpunan Agung kali ini.

7. Perhimpunan ini nyatanya membuktikan dua perkara penting: Pertama, UMNO sentiasa serius dalam membicarakan hal-hal yang memperkasakan bangsa Melayu, dan pada masa yang sama menjamin keadilan kepada semua kaum di Negara kita. Kedua, dalam membicarakan hal-hal penting ini, UMNO sentiasa mengambilkira pandangan akar umbi yang mewakili suara hati rakyat, yang menyerlahkan sifat UMNO sebagai parti yang demokratik; parti yang sentiasa relevan; parti yang sentiasa mendahulukan rakyat!

Mempertegaskan Asas Perjuangan UMNO

8. Dalam persidangan ini, jelas suara hati ahli-ahli UMNO mahukan UMNO terus istiqamah dalam mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Islam sebagai Agama Persekutuan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

9. Namun perkara yang dibangkitkan ini jelas berada dalam kerangka falsafah wasatiyyah, atau keseimbangan dan keadilan, seperti yang dipertegaskan oleh YAB Presiden dalam ucapan dasar beliau. Dalam ketegasan kita Sementara kita mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputera, kita sentiasa mengambil tanggungjawab untuk memelihara dan menghormati hak-hak kaum-kaum lain yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

10. Hak-hak ini, yang merupakan asas pembinaan Malaysia sebagai negara bangsa yang berdaulat, tidak boleh dipertikai dan dirungkai dalam apa jua keadaan sekalipun.

11. Namun, kita juga sedar bahawa jaminan Perlembagaan ini tidak boleh memberikan manfaat kepada orang Melayu dan Bumiputera, tanpa diterjemahkan dalam bentuk tindakan oleh kerajaan yang memerintah. Dalam hal ini, hanya UMNO lah satu-satunya parti yang telah terbukti serasi dengan semangat dan tujuan Perlembagaan ini. Jika parti lain yang memerintah, masih belum pasti mereka akan melaksanakan tuntutan Perlembagaan ini secara tuntas. Ini kerana Mereka caca merba, sering bertukar warna, merubah citra dan matlamat, semata-mata untuk berkuasa. Tidakkah kita terfikir bahawa mereka juga boleh memperdagangkan asas-asas perlembagaan ini demi kepentingan kuasa masing-masing.

12. Penegasan-penegasan yang dilontarkan oleh YAB Presiden dalam soal pembentukan negara bangsa ini bukanlah sesuatu yang retorik atau nostalgik. Sebaliknya, ia adalah satu pertanggungjawaban sebagai seorang pemimpin untuk sentiasa mengingatkan kita tentang kepentingan mempertahankan asas-asas kewujudan negara kita.

13. Dan, asas-asas kewujudan ini, yang termaktub dalam Perlembagaan mesti sentiasa disebut, sentiasa diulang, sentiasa diingatkan, sentiasa dipertegaskan, supaya kita tidak lupa dari mana asal-usul kita.

14. Ingatlah, apabila kita lupa kepada asal usul kita, maka sebenarnya kita merintis jalan ke arah merungkai teras kewujudan kita sebagai sebuah Negara bangsa; teras persefahaman dan kerukunan hidup antara warga.

Peringatan ini selaras dengan firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Asr:

“Demi Masa! (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”

Konsep Wasatiyyah

Saudara saudari sidang perwakilan,

15. Sesungguhnya, falsafah wasatiyyah yang dilontarkan oleh YAB Presiden amat bertepatan dengan budaya dan tradisi UMNO sebagai parti teras, yang sejak dahulu lagi sentiasa mempertahankan keseimbangan dan keadilan dalam pemikiran dan pendekatan politiknya.

16. Dalam konteks pendekatan politik UMNO, wasatiyyah bererti kebijaksanaan mengambil jalan pertengahan, bukan ekstrem, dalam mewujudkan kesepakatan politik untuk menerajui sebuah negara majmuk. Pendekatan jalan tengah ini, yang mencari keseimbangan dalam memenuhi hak dan kepentingan semua kaum, adalah pendekatan yang telah terbukti berjaya, sepertimana kota Madinah dibina oleh Rasulullah s.a.w atas prinsip wasatiyah ditengah-tengah kepelbagaian budaya dan agama, serta kemajmukan warganya.

Bahkan, sabda Rasulullah s.a.w:

“Khairul Umuri Awsatuha”

Bermaksud: “Sesempurna urusan adalah yang ditengah-tengah” – iaitu yang adil bukannya melampau, tidak terlebih atau terkurang; syumul dan sempurna.

17. Sesuai dengan tuntutan ini, UMNO sentiasa berusaha menzahirkan falsafah wasatiyyah dalam merealisasikan penyatuan hati, fikrah, amalan dan matlamat bangsa Melayu dan Bumiputera, yang tidak meminggirkan hak-hak kaum lain.

18. Melangkah ke hadapan, UMNO perlu sentiasa memperkukuhkan falsafah wasatiyyah dengan melakukan yang terbaik, berusaha mencapai kesempurnaan, dan menterjemahkan idealisme UMNO sesuai dengan tuntutan zaman. Bagi mencapai kesempurnaan ini, UMNO perlu melahirkan pejuang-pejuang sepertimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran, ayat 110:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang mungkar serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”

Transformasi Politik

19. Menyemangati firman Allah s.w.t. ini, kita mesti menjayakan transformasi politik UMNO, sepertimana ditekankan oleh YAB Presiden, mengenai peri pentingnya UMNO melakukan tiga fasa pemulihan:

20. Pertama, keberanian untuk menerima kelemahan. Kita perlu mencari apa kelemahan kita? Cuba lihat cawangan kita? Bahagian kita? Diri kita sendiri? Beranikah kita menerima kelemahan-kelemahan ini? Soal perpaduan sesama kita? Kelemahan di peringkat organisasi; jentera parti; soal integriti; Apakah kita bersedia untuk mengakui dan memperbaikinya?

21. Juga, soal persepsi masyarakat terhadap UMNO. Seolahnya UMNO tidak pernah berjasa; seolahnya tiada kebaikan yang dilakukan oleh UMNO selama ini. Malah, wujud fenomena demonization of UMNO; atau UMNO-bashing, serta fitnah yang bertujuan membangkitkan kebencian rakyat terhadap UMNO. Istilah-istilah seperti UMNOPutera; UMNO rasis; UMNO zalim; UMNO asabiyyah, sengaja dicipta.

22. Harus ada keberanian untuk memperbaiki kelemahan. Harus ada keberanian untuk memperbetulkan persepsi buruk terhadap UMNO. Jangan kita jadikan persepsi negatif ini sebagai sesuatu yang melemahkan perjuangan kita. Yakinlah, apabila muncul yang hak, maka lenyaplah yang batil.

Dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan hilang lenyaplah perkara yang salah, sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap. (Al-Isra’: 81)

23. Kedua, YAB Presiden menekankan keperluan bermuhasabah dan mencari penawar yang mustajab. Dengan itu, kita harus memulakan muhasabah diri dengan memurnikan niat, lisan dan tindakan kita. Niat mesti ikhlas; tutur kata mesti benar; dan tindakan mestilah menjadi cerminan keikhlasan hati dan kebenaran tutur kata.

24. Ketiga, memulakan gerakerja. Transformasi UMNO mesti dilakukan sekarang, bukan esok atau lusa. Bukan hanya di ambang pilihanraya. Ubah sikap kita untuk bekerja dengan lebih gigih. Perkemaskan jentera bagi menghadapi PRU 13. Perhebatkan program sentuhan parti dengan masyarakat, termasuk mereka yang dilihat tidak bersama dengan UMNO. Ambil pendekatan “Kami Prihatin” dengan menekankan kepedulian sosial UMNO di tengah-tengah masyarakat. Kita mahu masyarakat merasakan keberadaan UMNO, merasakan sentuhan UMNO!

Jawapan Isu Pendidikan

Saudara saudari siding perwakilan,

25. Saya mengucapkan terima kasih di atas usul-usul yang telah dikemukakan oleh para perwakilan mengenai pendidikan. Sebagai Menteri Pelajaran, saya mengambil kesempatan ini untuk memberikan maklumbalas mengenai usul-usul tersebut.

Transformasi Pendidikan

27. Seperti dibangkitkan oleh jurucakap Perak, Sabah dan Pergerakan Pemuda, KPM akan melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dari Tahun Satu mulai 2011. Ia akan diikuti oleh Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada tahun 2016. Kurikulum baru ini adalah penambahbaikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). KSSR akan memberi penekanan kepada pendekatan hands-on learning, inkuiri penemuan, keupayaan berbahasa, pembelajaran berasaskan projek dan pelbagai lagi jenis pembelajaran yang menyeronokkan. Matlamatnya ialah melahirkan murid yang holistik dan berupaya menghadapi cabaran masa depan. Ia juga bersesuaian dengan pelaksanaan sistem penilian baru Ujian Pelajaran Sekolah Rendah yang dijangka dilaksanakan mulai 2016.

Pendidikan Teknik dan Vokasional

28. Mengenai pendidikan teknik dan vokasional seperti yang dibangkitkan oleh Jurucakap Perak, Wanita, Pemuda dan Puteri, KPM memang sedang mengarusperdanakan pendidikan Teknik dan Vokasional. Melalui dasar ini, KPM berhasrat meningkatkan penyertaan murid mengikuti Pendidikan Voctech daripada 10% (40,706 orang murid) kepada 20% (81,000 orang murid) menjelang tahun 2015. Bagi mencapai hasrat ini KPM telah merancang dan akan melaksanakan perkara-perkara berikut, iaitu:

i. Menyediakan peruntukan pembangunan dalam RMKe-10 sebanyak RM340 juta;
ii. Membina 4 Sekolah Menengah Vokasional yang baru dalam RMKe-10 dan sebuah lagi dalam pembinaan RMKe-9;
iii. Mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada untuk memperluas pendidikan VocTech. Antaranya ialah menjadikan Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) dan kemudahan di sesetengah sekolah harian sebagai Sayap Vokasional. Sebagai langkah permulaan, 2 buah KIP telah dikenalpasti dijadikan Sayap Vokasional pada tahun 2012;

iv. Menambah dua (2) buah sekolah menengah pendidikan vokasional untuk golongan murid kurang upaya pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran;

v. Menambahbaik mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah menengah harian supaya setaraf dengan Sekolah Menengah Vokasional sedia ada dan diiktiraf oleh industri atau badan profesional;

vi. Meningkatkan kompetensi guru vokasional dan kemahiran sedia ada secara berterusan. Seramai 4,764 guru akan dilatih dan ditauliahkan kemahiran sekurang-kurangnya mencapai minima kemahiran Tahap 3 Sijil Kemahiran Malaysia mulai tahun 2011;

vii. mengambil guru baru vokasional dan kemahiran dari pasaran terbuka mengikut kelayakan yang diiktiraf. Langkah ini termasuk mempertimbangkan Pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada Tahap 4 atau setara dengannya dan calon yang terpilih akan dilatih oleh KPM sebelum ditauliah dan disahkan sebagai guru kerajaan; dan

viii. mewujudkan persekitaran inovasi di sekolah, penerapan dan pelaksanaan perniagaan akan dilaksanakan melalui program School Enterprise.

Penilaian UPSR dan PMR

29. Kementerian sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan supaya anak-anak dapat dibangunkan secara holistik, kreatif dan inovatif. Justeru, Kementerian Pelajaran memutuskan supaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ditambah baik kaedah penilaiannya dan akan dilaksanakan mulai tahun 2016. Manakala bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, diganti dengan pentaksiran berasaskan sekolah, dan kita bersetuju untuk memulakannya pada tahun 2014 iaitu 2 tahun lebih awal seperti yang diumumkan sebelum ini. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para jurucakap yang telah menyokong keputusan Kementerian Pelajaran ini.

Memperkasa Sekolah Kebangsan

30. Banyak pandangan berkaitan dengan mewujudkan sistem satu aliran telah dibangkitkan. Sistem satu aliran diharap dapat mewujudkan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan murid. Kementerian mempunyai dasar memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk menjadi SK pilihan utama ibubapa pelbagai kaum. Antara usaha KPM ialah mata pelajaran bahasa Mandarin dan bahasa Tamil di SK akan diperluaskan. Tetapi kita tidak melupakan keperluan lain seperti terus memperkukuhkan pendidikan moral dan matapelajaran Agama Islam. Namun, dalam memperkasa sekolah kebangsaan ini, komitmen, sokongan padu serta keyakinan daripada ibu bapa terhadap keupayaan sekolah kebangsaan amat penting.

Status Mata Pelajaran Sejarah

31. Seperti yang dibangkitkan oleh Wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan. Manakala bermula tahun 2014, di bawah Kurikulum dalam KSSR, mata pelajaran Sejarah akan dijadikan sebagai mata pelajaran teras.

32. Pada masa ini di peringkat sekolah menengah, mata pelajaran Sejarah adalah mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua murid. Selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh sebahagian besar Jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO, saya mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran memutuskan untuk menjadikan Mata Pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013, seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat untuk mendapat sijil SPM.

33. Dalam hal ini, Kementerian akan membuat penambahbaikan kandungan mata pelajaran Sejarah dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini.

Memartabatkan Profesion Keguruan

34. Untuk makluman wakil Wanita, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah menambahbaik sistem pemilihan calon guru, memantapkan latihan perguruan, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan dan memperluas laluan kerjaya serta kebajikan guru.

Penempatan Guru

35. Berhubung penempatan guru, Kementerian akan mengkaji semula dasar berkaitan secara komprehensif dengan menempatkan guru-guru di mana-mana sekolah sama ada di SK, SJKC, SJKT dan sebagainya mengikut opsyen kepakaran mereka dan bukan mengikut kaum atau lokasi. Ini amat penting untuk memastikan matlamat dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Mamperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dapat dilaksanakan dengan jayanya mulai tahun 2011.

Insentif kepada Yayasan Guru Malaysia

36. Mengenai fungsi Yayasan Guru Malaysia Berhad seperti yang ditimbulkan oleh perwakilan Sabah, ia akan diperkasakan dengan memperhebatkan kempen untuk menggalakkan guru-guru menjadi ahli yayasan. Kita sedar bahawa Yayasan Guru Malaysia ini memerlukan suntikan kewangan kepada dana sedia ada. Justeru, kita akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti yayasan tersebut, untuk kebajikan guru-guru. Yayasan Guru Tun Hussein Onn, satu lagi yayasan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan guru telah diluluskan oleh Kabinet. Rang undang-undang mengenainya akan dibentangkan di Parlimen dalam jangka masa terdekat. Harta dan wang milik kerajaan dalam Kumpulan Wang Simpanan Guru (KWSG) berjumlah kira-kira RM 200 juta akan dipindahkan ke Yayasan ini sebagai permulaan.

Penglibatan Guru Dalam Politik

37. Berhubung dengan kebenaran guru terlibat dalam politik yang ditimbulkan oleh wakil Sabah, Kerajaan berharap kelonggaran ini digunakan sebaik mungkin oleh guru untuk menyumbang kebolehan mereka membantu Kerajaan, bukan untuk menentang Kerajaan.

Penutup

Saudara saudari sidang perwakilan sekalian,

38. Tiga hari kita berkampung di Dewan Merdeka ini, marilah kita kembali semula ke tempat asal kita dengan satu tekad, satu semangat untuk menzahirkan sokong padu kepada YAB Presiden demi meletakkan UMNO di atas landasan perjuangannya.

39. Berikan kepercayaan penuh kepada YAB Presiden dalam memimpin UMNO, di saat parti kita sedang berhadapan dengan realiti baru politik dan ekonomi, yang akan menentukan masa depan keindukan bangsa Melayu dan Bumiputera dalam menerajui sebuah negara yang sentiasa menjamin kedilan untuk semua kaum.

40. Rapatkan saf untuk menjayakan transformasi parti, sesuai dengan tekad untuk pertahankan Putrajaya sebagai lambang perpaduan, lambang kejayaan bangsa dan lambang kesatuan Negara!

Marilah kita bangkit membina kekuatan bangsa.
Di atas runtuhan Melaka lama
Penyair termenung seorang diri
Ingat Melayu kala jayanya
Pusat kebesaran nenek bahari
Bukan kuminta jambatan emas
Tapi nasihat hendak kuberi
Kenang-kenangan zaman yang lepas
Iktibar cucu kemudian hari
Sebelum engkau mengambil simpulan
Sebelum Portugis engkau kutuki
Inggeris Belanda engkau cemarkan
Ketahui dahulu salah sendiri
Janjian Tuhan sudah tajalli
Mulialah umat yang teguh iman
Allah tak pernah mungkirkan janji
Tarikh riwayat jadi pedoman
Tidaklah Allah mengubah untung
Suatu kaum dalam dunia
Jika hanya duduk terkatung
Berpeluk lutut berputus asa
Malang dan mujur nasibnya bangsa
Turun dan naik silih berganti
Terhenyak lemah naik perkasa
Bergantung atas usaha sendiri
Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan
Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, iman pun teguh
Zaman hadapan, penuh harapan

Dengan semangat nukilan Pak Hamka ini, marilah kita bersama jayakan transformasi UMNO!
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");