Perak Hari Ini

Usahawan Melayu Perlu Tingkat Kemahiran Dan Buka Minda – Rahim Tamby Chik

Sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera menjelang 2020 boleh dicapai jika para usahawan Melayu meningkatkan kemahiran dan berminda terbuka , kata Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) Tan Sri Rahim Tamby Chik.

Beliau berkata sikap berpuak-puak dan suka berpolitik yang sering melanda usahawan Melayu perlu dihapuskan kerana gejala berkenaan menjadi punca berlakunya ‘ketirisan’.

“Mereka perlu melakukan anjakan paradigma dan perubahan sikap bagi memastikan setiap peruntukan atau bantuan yang diberi pihak atasan (kerajaan) tidak mengalami ketirisan dan boleh sampai kepada golongan sasaran.

“Oleh itu, perlu diwujudkan permuafakatan di kalangan usahawan Melayu dan mengurangkan jurang di antara mereka,” katanya pada Forum Memperkasa Ekonomi Bumiputera anjuran GABEM dan Wanita Umno Perak, di sini Sabtu.

Forum berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Rahim berkata sikap buruk berkenaan merugikan orang Melayu sendiri yang terpaksa pula menghadapi persaingan sengit dengan bangsa lain dalam bidang ekonomi.

Usahawan Melayu perlu mengelak daripada melakukan sebarang kecenderungan negatif seperti bergaduh sesama sendiri sebaliknya bertindak lebih proaktif dan mempraktikkan sikap kerjasama jika mahu bersaing dengan bangsa lain, katanya.

Sementara itu, Dr Zambry pada sidang akhbar selepas majlis itu, berkata wanita mampu memainkan peranan mereka dalam membantu kerajaan menggerakkan kadar pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus merangsang perancangan kerajaan ke arah memantapkan pembangunan negara.

“Bidang perniagaan seperti ekonomi setempat dan industri hiliran yang kebanyakannya dikuasai wanita mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan itu dan pada masa sama mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan serta pekerjaan,” katanya.

Katanya walaupun bidang yang diceburi wanita mungkin kecil tetapi ia memberi impak besar kepada pertumbuhan setempat.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");