Perak Hari Ini

Zambry dakwa Pakatan pembangkang pindah pengundi ke DUN Sg Rapat

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendakwa bahawa Pakatan pembangkang mengguna pakai taktik kotor dengan memindah pengundi di kawasan yang mereka yakin menang.

Katanya dakwaan beliau itu berdasarkan maklumat yang diperolehi terdapat peningkatan pengundi secara tiba-tiba di kawasan DUN Sungai Rapat.

“Kita hairan bagaimana ada peningkatan pengundi secara tiba-tiba di DUN Sungai Rapat. Tidak salah jika saya katakan ini perbuatan mereka (pembangkang) kerana sepertimana yang kita tahu DUN ini berada di bawah parlimen yang dikuasai mereka (Parlimen Gopeng).

“Malah kita juga tahu DUN Sungai Rapat ini bersempadan dengan DUN yang dikuasai pembangkang (DUN Teja dan DUN Simpang Pulai),” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa terdapat perpindahan pengundi yang ramai secara senyap-senyap dari kawasannya ke DUN Sitiawan yang diwakili Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Khoo Ham.

Dalam kenyataannya, Nizar telah menuduh bahawa perpindahan pengundi ini adalah perbuatan Barisan Nasional bagi mengurangkan peluang Pakatan pembangkang untuk menang dalam pilihan raya ke-13.

Zambry berkata beliau tidak terkejut dengan tuduhan Nizar itu kerana memang sudah menjadi sikap pembangkang yang mempunyai “paranoid character” untuk menyalahkan BN bagi setiap perkara negatif yang berlaku.

“Menuduh ianya perbuatan BN memang sudah menjadi perkara biasa buat mereka. Mereka ini golongan yang tidak ada maruah kerana sanggup menipu rakyat semata-mata untuk jadi ahli politik yang hebat.

“Pada saya mereka ini mempunyai mulut yang sangat celupar kerana menuduh BN bagi menutup setiap kepincangan yang berlaku dalam parti mereka dan perebutan kuasa sesama mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");