Berita Hari Ini
Like

FBM KLCI catat sejarah paras penutup tertinggi

November 9, 2010
165 Views
0 Comments
3 minutes read
FBM KLCI catat sejarah paras penutup tertinggi


Oleh Azli Ayob
[email protected]
2010/11/09
Indeks berpotensi uji halangan 1,600 mata tahun ini

PASARAN saham Malaysia merekodkan paras penutup tertinggi dalam sejarah didorong aliran cergas dana asing ke pasaran tempatan berikutan jangkaan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih cerah, pulangan lebih tinggi berbanding pasaran negara maju serta peningkatan berterusan nilai ringgit.
Pada penutup semalam, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat 8.1 mata atau 0.54 peratus kepada 1,519.84, mengatasi paras penutup tertinggi sebelum ini iaitu pada 1,516.22 mata yang dicatat pada 11 Januari 2008.
Susulan itu juga, pasaran tempatan hari ini dijangka berpotensi menguji paras pergerakan tertinggi harian yang dicatat pada 14 Januari lalu iaitu 1,524.68 mata.

Penganalisis turut menjangkakan arah aliran positif itu akan berterusan sehingga suku pertama tahun depan sejajar dengan keyakinan pelabur terhadap program pembaharuan ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Mereka berkata, sentimen pasaran yang lebih positif itu turut disumbangkan daripada peningkatan harga saham perladangan di tengah-tengah kerancakan kenaikan harga minyak sawit mentah.

Harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun semalam di tengah-tengah kekurangan bekalan akibat banjir dan peningkatan harga minyak soya di China.
Kontrak MSM bagi Januari 2011 naik RM83 kepada RM3,273 setan semalam, paras yang tidak pernah dicapai sejak 18 Julai 2008.

Ketua Penyelidikan di TA Securities, Kaladher Govindan, berkata aliran dana asing yang ketara itu juga akan menjadi pemangkin penting untuk FBM KLCI mengatasi paras rintangan 1,600 tahun ini.

Beliau berkata, langkah kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyuntik dana bernilai AS$600 bilion bertujuan merangsang ekonomi negara itu dijangka mencetuskan gelombang kedua aliran dana ke pasaran ekuiti global.

“Lebihan kecairan ini memaksa dana asing itu mencari aset berkualiti di seluruh dunia untuk dilaburkan. Dalam aspek ini pasaran tempatan yang mana penyertaan pelabur asing dalam pasaran ekuiti masih rendah iaitu pada 21 peratus, tidak terkecuali,” katanya.

Katanya, jangkaan aliran berita positif dari dalam dan luar negara juga dijangka mendorong peningkatan harga saham minggu ini.

MIDF Research dalam nota penyelidikan berkata, pasaran ekuiti Asia menerima aliran dana tertingginya dalam tempoh dua bulan pada minggu lalu.

“Dianggarkan sejumlah AS$4.7 bilion dana asing membeli ekuiti di pasaran Asia minggu lalu, meningkat daripada AS$3.5 bilion minggu sebelumnya,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, keadaan pasaran juga menampakkan petanda positif untuk terus mempamerkan prestasi yang baik minggu ini sejajar dengan sentimen positif pasaran ekuiti seluruh dunia.

Komen & Pendapat

Leave a Reply