Isu Panas

Jambatan Ganti Tambak Johor Boleh Pulihkan Sokongan Kepada BN – Dr. Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad yakin pembinaan semula jambatan baru menghubungkan Johor ke Singapura bagi menggantikan Tambak Johor dapat mengembalikan sokongan rakyat Johor kepada Barisan Nasional (BN).

Bekas Perdana Menteri itu berkata, salah satu sebab BN tidak dapat meraih kemenangan besar di negeri itu buat pertama kali dalam sejarah tanah air pada Pilihan Raya Umum 2008 adalah kerana rakyat negeri itu dituduh tidak mahu pembinaan jambatan kedua dilaksanakan.

“Saya percaya salah satu sebab kita tidak dapat kemenangan cemerlang di Johor, buat kali pertama kita kalah enam kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri kerana rakyat Johor amat marah kerana dituduh mereka tidak mahu jambatan.

“Mereka tidak pernah ditanya sama ada nak atau tidak jambatan, jadi tuduhan Tun Abdullah (Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri) bahawa orang Johor tidak mahu jambatan ini tidak ada asas sama sekali.

“Oleh kerana marah, sokongan mereka kepada BN pada 2008 merosot. Saya yakin kalau jambatan ini dibangunkan, ia akan mengembalikan sokongan rakyat Johor kepada BN,” katanya selepas majlis penyerahan cek RM7,000 oleh Pertubuhan Belia Islam Kepong (PBLK) kepada Global Peace Organisation (GPO) di Yayasan Al-Bukhary semalam.

Pertubuhan itu diwakili Pengerusinya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Norizan Ali.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, bahawa pelbagai aspek termasuk perundangan dan kos terpaksa diperincikan terlebih dulu sebelum sebarang keputusan diambil untuk membina jambatan menggantikan Tambak Johor seperti disarankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga penaung GPO berkata, keinginan Johor untuk mempunyai jambatan baru disokong oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail yang ketika hayatnya sanggup memberi kawasan tanah baginda secara percuma kepada pihak yang ingin membina jalan ke arah jambatan berkenaan.

“Ia bagi membolehkan jambatan itu dapat dimajukan, bermakna Sultan Iskandar memang sokong penuh pembinaan jambatan yang dikatakan bengkok ini, jadi tidak ada bantahan daripada mana-mana pihak.

“Saya juga berjumpa dengan Sultan Johor sekarang, Sultan Ibrahim yang juga menyatakan bahawa baginda hendak betul jambatan ini dan akan menulis, saya fikir kepada kerajaan untuk buat cadangan bagaimana hendak membina jambatan ini jika Kerajaan Pusat tidak ada duit,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak faham dengan tindakan Abdullah yang mengambil keputusan menghentikan projek jambatan berkenaan, dengan dakwaan rakyat Johor tidak setuju.

Katanya, pembinaan jambatan bengkok tidak menimbulkan masalah atau implikasi kepada mana-mana pihak khususnya Singapura dari segi perundangan malah ia akan memberi lebih banyak kesan positif kepada rakyat khususnya di Johor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");