Perak Hari Ini

Jangan gentar laksana tugas di kubu pembangkang

Semua ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa tidak gentar untuk melaksanakan dasar serta tanggungjawab mereka meskipun berada di kawasan kubu kuat pakatan pembangkang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, ia berikutan terdapat sebilangan kecil daripada mereka bimbang dan takut dengan tindak balas pihak pembangkang.

“Saya akui menerima aduan daripada orang ramai serta ahli majlis sendiri yang ragu-ragu untuk melaksanakan tugas mereka. Kita akan menyiasat perkara ini sama ada ia berasas atau tidak sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Namun, ia tidak seharusnya menahan mereka daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai kerana inilah masanya untuk menunjukkan sifat kepemimpinan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis PBT Peringat Negeri 2010 di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Hashim.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Hang Soon berkata, beliau tidak menolak sepenuhnya persepsi negatif umum terhadap imej PBT yang dikatakan tidak terbuka, telus, konsisten serta adakalanya tidak berlaku adil.

Beliau berkata, ia disebabkan aduan orang ramai melibatkan isu kelemahan penguatkuasaan, kelewatan kelulusan lesen, permit serta tindakan terhadap aduan awam.

Selain itu, katanya, terdapat juga PBT yang kurang mengamalkan budaya turun padang serta menyalahgunakan kuasa serta tidak berintegriti.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan prestasi kutipan hasil cukai PBT kepada 50 peratus pada tahun ini berbanding 30 peratus pada tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");