Perak Hari Ini

Kekuatan politik kaum India kini tergugat, salah siapa?

KETIDAKTENTUAN politik yang menimpa ramai pemimpin India dalam parti-parti pembangkang yang dianggap bersifat ‘pelbagai kaum’ atau bukan perkauman sejak akhir-akhir ini, akibat daripada kekalahan dalam pemilihan atau digugurkan daripada parti, menggambarkan realiti politik masyarakat India masa kini.

Senario tersebut jelas menunjukkan kedudukan masyarakat India dalam konteks pemilikan kuasa politik. Nyata, situasi tersebut akan menggugat masa depan masyarakat India di negara ini kerana kekuatan politik merupakan elemen penting dalam memastikan hak dan kepentingan mereka terpelihara. Pemimpin India yang tidak memiliki kewibawaan politik tidak akan dapat memperjuangkan hak masyarakat India dengan berkesan.

Timbul persoalan sama ada benar atau tidak, tanggapan umum bahawa parti-parti politik berbentuk perkauman tidak relevan lagi masa kini. Ini kerana sebagai kumpulan minoriti, perpecahan ditambah pula dengan pemimpin yang lemah, akan hanya menenggelam suara masyarakat India.

Untuk rekod, tidak ada satu pun parti politik pembangkang utama atau ‘mainstream‘ yang didominasikan oleh masyarakat India. Mereka sekadar menjadi ahli minoriti dalam parti-parti pembangkang. Malah, mereka juga berpecah dan mewujudkan puak dalam parti masing-masing.

Kegagalan Naib Pengerusi DAP Perak, M. Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat dalam mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti baru-baru ini, menimbulkan kesangsian di kalangan ahli India dalam DAP.

Apakah hak dan kepentingan mereka mampu diperjuangkan oleh pemimpin mereka, sedangkan pemimpin tersebut terpaksa ‘kow tow’ terhadap golongan majoriti yang menguasai parti.

Apatah lagi, berlaku penyebaran SMS secara berleluasa selepas kekalahan beliau yang didakwa kerana faktor perkauman dalam DAP. Walaupun DAP mengakui parti tersebut dianggotai oleh semua kaum, namun umum mengetahui ia didominasi oleh satu kaum tertentu.

Justeru, nasib atau masa depan pemimpin-pemimpin India seperti Kulasegaran dalam DAP adalah ‘dalam tangan’ ahli-ahli yang majoritinya dari kaum tersebut.

Nasib yang hampir sama menimpa P.Jenapala, bekas Timbalan Setiausaha Agung PKR, sebuah lagi parti politik yang menganggap dirinya sebagai merentasi kaum.

Sejurus selepas mengumumkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini, Jenapala menerima kejutan apabila dimaklumkan bahawa keahlian beliau dalam PKR digugurkan pada 2008.

Selain itu, lima orang calon Naib Presiden dari kalangan pemimpin India dalam pemilihan PKR juga gagal mendapat sokongan walaupun ramai masyarakat India dikatakan menganggotai parti itu.

Begitu juga nasib masyarakat India dalam Pas yang mana mereka tidak diberi peluang menjadi ahli parti tersebut, tetapi sekadar dibenarkan membentuk Kelab Penyokong Pas.

Pas juga bercadang meletakkan calon bukan Melayu untuk bertanding atas tiket parti tersebut pada pilihan raya umum akan datang. Walaupun ia mungkin berlaku, tetapi ramai yang akan melihatnya sebagai perhiasan atau perubahan kosmetik sahaja.

Masyarakat India inginkan lebih daripada itu. Mereka mahu kekuatan politik, dan ia hanya boleh diperolehi jika mereka diberi peluang untuk memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam PKR, DAP ataupun Pas melalui proses demokrasi yang benar.

Situasi ini boleh dianggap masih belum wujud dalam ketiga-tiga parti tersebut. Pelantikan P.Ramasamy sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang oleh kerajaan negeri pimpinan DAP juga tidak memberi impak atau kesan dalam kehidupan masyarakat India.

Apa gunanya diberi jawatan tinggi dalam kerajaan, tetapi kuasa sebenar terletak dalam tangan pemimpin-pemimpin yang memegang jawatan penting dalam parti politik masing-masing.

Ada yang mungkin menganggap kemelut yang menimpa pemimpin-pemimpin India dalam parti politik masing-masing adalah kerana kekurangan sokongan dari kalangan ahli India sendiri. Kewujudan pelbagai puak di kalangan mereka dikatakan telah melemahkan peluang pemimpin-pemimpin India ini untuk menang atau mendapatkan sokongan padu.

Sama ada ia berlaku kerana kewujudan puak atau sebab-sebab lain, isu utama yang perlu dilihat dan disedari oleh masyarakat India ialah sebagai sebuah kumpulan minoriti di negara ini (hanya lapan peratus daripada jumlah penduduk Malaysia), mereka perlu mempunyai barisan pemimpin yang berwibawa, mempunyai kredibiliti, dan tidak boleh diarah oleh mana-mana pihak.

Jelas bahawa populasi masyarakat India di negara ini akan semakin berkurangan dalam tempoh 50 tahun, mungkin sehingga ke paras tiga atau empat peratus, berbanding dengan peratus peningkatan populasi kaum-kaum lain.

Adalah penting mereka menyedari bahawa mereka perlu bergabung demi memastikan hak dan kepentingan mereka terjamin.

Dalam konteks ini, MIC merupakan satu-satunya parti yang dianggotai sepenuhnya oleh masyarakat India. Walaupun beberapa kali berlaku perebutan kuasa dalam MIC, tetapi ia merupakan perbalahan antara pemimpin-pemimpin India. Pemimpin yang dipilih menerajui MIC akan tetap mewakili kepentingan dan suara masyarakat India.

Walaupun MIC adalah sebuah parti berbentuk perkauman, tetapi jika dilihat the big picture, ia berada di bawah naungan Barisan Nasional (BN), sebuah gabungan parti politik pelbagai kaum. Setiap kaum diwakili oleh parti politik masing-masing, tetapi muncul sebagai sebuah parti multi-racial melalui BN.

Kita tidak boleh menganggap BN didominasi oleh sesebuah kaum tertentu sahaja kerana wujud persefahaman di kalangan parti komponen. Mungkin satu hari nanti, BN akan menjadi satu-satunya parti politik bagi semua kaum. Proses tersebut sudah pun bermula.

Tetapi, buat masa sekarang, pilihan masyarakat India mestilah sebuah parti politik yang dapat menyatukan mereka dan memberi barisan pemimpin yang berwibawa dan efektif.

Penulis ialah bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri S.Samy Vellu

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");