Perak Hari Ini

Kulasegaran minta kaum India dalam DAP bertenang

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kulasegaran meminta ahli parti itu yang berketurunan India bertenang dan tidak melihat kekalahannya pada pemilihan parti baru-baru ini sebagai usaha penyingkiran kaum tersebut.

Beliau yang juga tidak berpuas hati dengan keputusan itu sebelum ini bagaimanapun menegaskan, ia harus dilihat secara menyeluruh kerana penyingkiran tersebut membabitkan dirinya, bukan kaum India di dalam parti.

Justeru, Kulasegaran meminta semua ahli bertenang biarpun beliau menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) yang ‘menakutkan’ kerana ada yang berhasrat meletakkan jawatan dan ada juga yang mahu keluar parti.

“Kalah atau menang itu sebahagian pengundian tetapi saya tidak fikir ia akan menjejaskan kaum kerana terdapat juga orang India dan Cina yang tidak mengundi saya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa yang mati dipatuk ular berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Methodist Buntong di sini hari ini.

Kulasegaran mengulas penyebaran SMS di kalangan pemimpin DAP Pulau Pinang yang berketurunan India yang dikatakan mahu menganjurkan protes kerana tidak berpuas hati kerana dipinggirkan pemimpin Cina dalam parti itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, rasa tidak puas hati di kalangan ahli akan berlaku di mana-mana, namun baginya mereka harus memahami bahawa perjuangan parti harus diteruskan.

Beliau berkata, DAP adalah sebuah parti berbilang kaum, malah mereka sentiasa menarik minat orang Melayu dan Orang Asli untuk menyertainya.

“Ya, kita mempunyai perbezaan seperti sepasang suami isteri yang juga mempunyai pendapat berbeza.

“Ia merupakan satu halangan, tetapi ia bukan menyebabkan saya perlu ‘mati’. Saya meminta semua ahli bertenang dan fokus kerana akan sentiasa terdapat hari lain untuk kita,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");