Kolumnis

Macamana Suara Keadilan Nak Bayar Saman Dr. Zambry?

Saya berasa amat simpati sebenarnya kepada akhbar Suara Keadilan kerana kalah dalam kes saman Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir terhadap akhbar berkenaan.

Lebih simpati lagi bila Penolong Pendaftar Kanan, Noordura Mohamed Din menerima permohonan penghakiman Zambry terhadap empat defendan dalam tuntutan saman bernilai RM100 juta itu.

Untuk rekod, pada 25 Februari lepas, Zambry telah memfailkan saman fitnah terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalannya, Dr Syed Husin Ali dan dua yang lain terhadap artikel yang disiarkan dalam akhbar bulanan PKR itu.

Dalam tuntutannya, Zambry berkata artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Disember 2009 – 5 Januari 2010, bertajuk ‘Zambry disyaki pengganas gagal masuk ke Amerika Syarikat’ didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu dan tidak berasas serta disiarkan dengan berniat jahat.

Zambry mendakwa perkataan berunsur fitnah itu telah menjejaskan serta melukakan perasaanya dengan begitu mendalam hingga mencemarkan reputasinya sebagai Menteri Besar Perak.

Dalam kenyataan pembelaannya, defendan mendakwa mereka telah menyiarkan satu artikel permohonan maaf bertajuk ‘Mohon Maaf Dr Zambry’ yang dicetak dalam akhbar Suara Keadilan edisi 30 Mac-5 April.

Apa-apa sajalahkan, yang pasti Dr. Zambry telah menang.

Nampaknya senjata betul-betul makan tuan.

Kalau dulu PKR bukan main galak lagi menuduh media arus perdana sebagai agen fitnah, kini mereka sendiri yang menjunjung amalan itu

Kita semua seharusnya mengambil berat terhadap perkembangan ini kerana nampaknya fitnah sudah menjadi sebahagian daripada budaya politik di negara ini, khususnya di kalangan parti pembangkang

Apabila ahli-ahli politik dan aktivis PKR menggunakan fitnah tanpa sebarang perasaan bersalah untuk mencapai matlamat mereka, ini bermakna budaya politik negara ini sudah dicemari dengan suatu amalan buruk yang melanggar etika kemanusiaan, apatah lagi nilai-nilai murni agama Islam.

Ciri-ciri yang menjadikan sistem demokrasi yang sihat adalah kejujuran dalam menyampaikan hujah.

Maklumat hendaklah berdasarkan pada fakta benar supaya rakyat ketika memilih pemimpin mereka dapat menilai hujah secara rasional dan waras untuk kebaikan bersama.

Sekiranya ahli-ahli politik dan aktivis mereka menggunakan fitnah dengan sewenang-wenangnya, maka sudah tentu, itu merupakan perbuatan pembohongan yang melanggar asas sistem demokrasi itu sendiri.

Rakyat akan terkeliru dan terpengaruh pada perkara- perkara palsu yang akhirnya memberikan kemenangan kepada pemimpin-pemimpin yang tidak jujur.

Sudah tentu kita tidak mahu wakil-wakil rakyat yang dihantar ke Parlimen memperoleh kemenangan melalui kempen fitnah.

Kita percaya kepalsuan budaya politik seumpama ini akan merosakkan masyarakat dan negara.

Kita sedih budaya politik ini berlaku di kalangan masyarakat Melayu yang rata-rata menganut agama Islam dan faham bahawa dari segi agama, fitnah adalah sesuatu perbuatan salah yang amat berat.

Memfitnah adalah seperti memakan daging mayat saudara sendiri.

Kita saksikan bahawa fitnah disebarkan dengan pelbagai cara, baik melalui ceramah politik dan agama di masjid, mahupun tersebar melalui Internet, yang kemudian dilanjutkan lagi dengan dicetak sebagai risalah-risalah layang.

Kita merasa sedih betapa terdapat di kalangan masyarakat Melayu yang mudah terpengaruh dengan fitnah.

Mereka seolah-olah tidak berupaya untuk berfikir secara rasional dan menilai antara kebenaran dan kepalsuan.

Mereka tidak berfikiran objektif dan mudah membuat sesuatu kesimpulan tanpa usul periksa terperinci.

Dalam menghadapi alaf baru, seharusnya kita bukan saja mampu menggunakan alat-alat teknologi canggih seperti Internet tetapi juga sepatutnya mempunyai pemikiran tajam dalam menilai sesuatu laporan, sama ada ia benar ataupun fitnah.

Justeru, kita patut merancang suatu pendekatan bagi membanteras amalan fitnah politik di kalangan orang Melayu demi mewujudkan suatu sistem demokrasi yang sihat dan benar-benar mencerminkan kehendak rakyat

Yang pasti, Suara Keadilan mendapat pengajaran yang cukup berguna dalam kes Dr. Zambry ini.

Dengan ini saya ingin mengucapkan ‘Good Luck’ kepada mereka untuk mencari wang nak bayar saman tersebut

Perit bukan?

Jeffri Zachariah – Malaysia Instinct

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");