Perak Hari Ini

Mara bantu secara kreatif, inovatif: Hamidah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) sentiasa berusaha mempertingkatkan ekonomi usahawan Bumiputera dengan menyediakan pelbagai peluang bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan, di samping memberi pilihan kepada pengguna melalui produk dipasarkan.

Bagi merealisasikan usaha itu, Mara menganjurkan Ekspo Usahawan Industri Mara 2010 supaya usahawan dapat memperkenalkan produk kepada pengguna secara lebih dekat.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, usahawan perlu sedar persekitaran perniagaan memainkan peranan penting meningkatkan kemampuan setanding pengusaha dan pengeluar luar negara.

Menurutnya, usahawan boleh melaksanakannya kerana mereka mempunyai kepakaran, kualiti, kemahiran dan kemampuan untuk berjaya dalam perniagaan diceburi.

“Mereka perlu mengeksploitasi pasaran domestik dan menjadikannya batu loncatan untuk menerjah ke pasaran antarabangsa pada masa hadapan,” katanya berucap pada majlis itu di kawasan industri Mara Tambun di sini.

Hamidah berkata, Mara banyak membantu usahawan antaranya menyediakan latihan asas kemahiran, kursus keusahawanan, kemudahan pembiayaan dan penyediaan lot premis perniagaan.

“Bagaimanapun, kerajaan hanya mampu menyediakan asas untuk melahirkan usahawan, tetapi selebihnya bergantung kepada usahawan itu menentukan kejayaan perniagaan masing-masing,” katanya.

Katanya, pendekatan ekonomi kreatif dan inovatif perlu diterapkan dalam semua aspek pekerjaan untuk memberi nilai tambah tinggi dan penambahbaikan secara berganda dalam perkara yang dilakukan.

“Jika usahawan peka dalam menjana idea yang kreatif dan inovatif ia sekali gus membantu dalam meningkatkan daya saing untuk menakluki pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna dapat menyokong produk yang dihasilkan bumiputera supaya mereka dapat kekal dan terus bersaing dari semasa ke semasa.

“Jadilah pengguna yang bijak dengan memberi maklum balas sewajarnya kepada pengeluar supaya usahawan dapat meningkatkan kualiti produk ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");