Perak Hari Ini

MARA sedia geran RM700,000 untuk usahawan baru

Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui kerajaan negeri akan mengagihkan geran berjumlah RM700,000 kepada usahawan bumiputera baharu di Perak.

Program ini diharapkan dapat membantu diantara 200 hingga 250 orang bumiputera yang baru mahu melibatkan diri di dalam bidang perniagaan kecil-kecilan.

Ini diumumkan oleh pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman ketika merasmikan program ‘Anda Nak Jadi Usahawan?’ di Pengkalan Pegoh, dekat Ipoh, hari ini.

Berteraskan konsep ‘Mentor-Mentee’, Hamidah berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa syarikat tempatan untuk dijadikan mentor kepada usahawan-usahawan baharu itu nanti.

“Syarikat-syarikat yang menjadi mentor dipilih kebanyakkannya berpusat di negeri Perak ini. Mereka akan memberi bimbingan kepada usahawan-usahawan baharu ini bagaimana hendak menjalan perniagaan.

“Malahan, pada peringkat awal mereka juga akan dibekalkan dengan produk-produk yang berkaitan supaya usahawan-usahawan ini dapat memulakan perniagaan mereka,” kata Hamidah kepada wartawan selepas upacara perasmian dilangsungkan.

Syarikat-syarikat yang yang dikenal pasti kerajaan negeri pada program hari ini adalah Ayamas, Olala (francais warong makanan segera), dan Vida Beauty (kecantikan, dandanan rambut dan urut tradisional).

Syarikat-syarikat ini juga akan memproses permohonan dan memilih pemohon untuk menyertai program Mentor-Mentee ini.

“Wang geran akan disalurkan kepada Mentor untuk ditadbirkan bagi manfaat Mentee, segala kos permulaan perniagaan juga akan diuruskan oleh syarikat Mentor.

Kerajaan negeri berperanan memantau perkembangan peserta dengan meneliti laporan berkala yang disediakan oleh Mentor mereka.

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk memenuhi hasrat kerajaan supaya Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Program hari ini adalah yang pertama di negeri ini dan akan diadakan diserata Perak. Borang-borang permohonan boleh didapati dan diserahkan di pusat khidmat masyarakat ADUN Sungai Rapat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");