Perak Hari Ini
Like

Pandu Puteri perlu penjenamaan semula

November 29, 2010
131 Views
0 Comments
3 minutes read
Pandu Puteri perlu penjenamaan semula

Rosmah Mansor beramah mesra dengan anak-anak Orang Asli yang menyertai Program Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah bagi Murid Orang Asli dan Penan (KAPs) di Perkampungan Orang Asli Lata Kinjang, di Chenderiang, Tapah, semalam.

TAPAH 28 Nov. – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, langkah Persatuan Pandu Puteri Perak yang aktif turun padang dan terlibat dengan program kemasyarakatan wajar dijadikan contoh dalam usaha penjenamaan semula persatuan itu.

Katanya, langkah penjenamaan semula itu akan mendukung aspirasi persatuan untuk menjadikan Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebagai pertubuhan yang proaktif, berfikiran positif dan ke hadapan.

Beliau turut meminta persatuan itu di setiap negeri menyediakan program turun padang mengikut keperluan masing-masing dan membentangkan kepadanya dalam mesyuarat lembaga eksekutif pada awal tahun depan.

“Setiap Yang Dipertua dan Pesuruhjaya Negeri hendaklah memikirkan projek bersesuaian dalam menabur bakti kepada masyarakat di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis Pandu Puteri Perak Turun Padang di Kampung Lata Kinjang dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia berkata, program Pandu Puteri Perak Turun Padang bertujuan menerapkan nilai-nilai sukarelawan dan jati diri di kalangan ahli sebagai warga yang bertanggungjawab tanpa mengira batasan umur, bangsa, agama atau kelompok masyarakat.

Selain menyediakan satu platform bagi mewujudkan sikap prihatin dan semangat sukarelawan, beliau berkata, program itu juga dapat mendidik dan melahirkan bakal usahawan di kalangan suri rumah Orang Asli dalam menjana pendapatan sampingan serta meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran anak-anak Orang Asli.

“Saya yakin melalui program ini, kita boleh memberi pendedahan kepada ahli Pandu Puteri dalam usaha-usaha kemanusiaan dan membina kemahiran berkomunikasi, bekerjasama dalam satu pasukan dan bersosial dalam budaya serta cara hidup yang berbeza,” katanya.

Menurut Rosmah, jika sebelum ini persatuan memberi fokus dalam menganjurkan aktiviti tanpa melibatkan masyarakat luar, program tersebut telah membuktikan Pandu Puteri juga mampu berkhidmat untuk masyarakat setempat.

“Saya mempunyai penuh kepercayaan dengan adanya kerjasama dan sokongan semua pihak, puteri-puteri sekalian akan terus bekerja dengan hikmah dan bijaksana kerana mereka serba boleh dalam berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan aktiviti seperti itu, persatuan akan dipandang tinggi dan dihormati oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain, malah persatuan boleh dijadikan badan rujukan oleh persatuan-persatuan lain.

Rosmah menegaskan, persatuan itu juga perlu bersikap terbuka dan keluar daripada kepompong lama bagi memastikannya terus relevan.

“Kita harus mampu memahami dan menangani perubahan serta sanggup menyesuaikan diri mengikut keadaan persekitaran, peka terhadap perubahan dan perlunya sentiasa bersiap sedia,” katanya.

Komen & Pendapat

Leave a Reply