Isu Panas

PAS perlu kaji semula kedudukan mereka di dalam Pakatan..

Masih belum terlambat bagi Pas untuk mengkaji semula ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana ia lebih banyak membawa keburukan berbanding kebaikan kepada parti itu.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, pada masa ini Pas walaupun mempunyai organisasi kukuh, jentera mantap, ahli teramai dan pengaruh peringkat umbi kuat berbanding parti pembangkang lain tetapi ia hanya sekadar menjadi ‘pak turut’.

Menurut beliau, sepatutnya berdasarkan kepada kelebihan Pas itu, ia wajib menjadi dominan dalam pakatan pembangkang, sekali gus sebagai wadah alternatif Melayu Islam selain daripada UMNO.

“Masalahnya keadaan itu tidak terjadi, sebaliknya dalam ‘tahaluf siyasi’ itu Pas tidak mendapat peranan jelas yang sepatutnya, seolah- olah menyerahkan lehernya untuk disembelih oleh rakan lain yang memperkudakan mereka.

“Saya yakin majoriti ahli dan pengundi atas pagar meneliti dengan mendalam perkara ini terutama sikap Pas sendiri yang sanggup menggadaikan maruah dan dasar seperti penubuhan negara Islam, hanya kerana matlamat untuk menumbangkan UMNO,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali pula berkata, Pakatan Rakyat hanya bersatu kerana berpegang kepada prinsip melawan musuh yang sama iaitu Barisan Nasional (BN).

“Ramai ahli dan penyokong Pas tidak bersetuju dengan kerjasama itu tetapi kerana konsep wala’ atau mentaati keputusan pucuk pimpinan, terpaksalah mereka memendam rasa,” katanya

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, berkemungkinan apa yang didedahkan oleh anggota Parlimen Bebas Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin, yang sebelum ini anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis lalu, terdapat kebenaran.

Beliau berkata, kenyataan Zulkifli itu perlu dilihat secara serius oleh semua pihak dalam pakatan pembangkang dan barang kali kesahihan pendedahan itu perlu diteliti PKR, DAP dan juga Pas bagi membolehkan kebenaran tersebut dicari dan Zulkifli tidak dilihat hanya mencari populariti.

“Pas juga perlu melihat balik perjanjian di antara mereka kerana ia dikhuatiri boleh memberi kesan kepada Pas pada pilihan raya umum yang akan datang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, Pas seharusnya sedar bahawa parti itu boleh berdiri sendiri tanpa membentuk pakatan dengan PKR dan DAP berikutan mempunyai keanggotaan yang cukup ramai berbanding kedua-dua parti itu.

Beliau juga berpendapat, sekiranya dakwaan itu tepat dan benar, maka peluang pakatan pembangkang untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 akan datang, tidak akan berjaya.

“Rakyat akan melihat bahawa pakatan yang dikatakan sepakat ini sebenarnya pakatan palsu, dan bersama hanya untuk kuasa tanpa mempunyai matlamat yang sama,” katanya.

Zulkifli Noordin pula berkata, “Yang teman tertarik tu ialah nasihat daripada Dr. Siva kepada PAS supaya bergerak sendiri dan menjadi dominan, teman dah berguni-guni nasihatkan PAS. PAS sebuah parti yang besar, keahlian PAS ramai dan tak palsu macam PKR, jentera hebat, petugas yang komited. Tak sepatutnya PAS menjadi keldai tunggangan orang lain.”

“Apa pun orang kata pasal UMNO, ia tetap parti tunggak Barisan Nasional. Kot ye pun nak sangat bertahaluf siasah, janganlah sampai dikulupkan oleh PKR/DAP sampai bersepah prinsip dan perjuangan yang dikompangkan selama ini. Janganlah tahaluf siasah sampai menggadai aqidah dan syariah.”

“Kembalilah kepada perjuangan asal. Islam itu matlamat, politik itu alat. Jangan jadikan kerusi pilihanraya sebagai sasaran perjuangan, akhirnya nanti tiada beza PAS dengan parti politik lain. Ingatlah, untuk mendapat nasrullah itu ada syaratnya.”

Penulis sebelum ini pernah menyatakan, jika benar PAS ingin melaksanakan hukum Hudud, PAS sepatutnya berkerjasama dengan seluruh orang Islam termasuk UMNO dan memberi kefahaman kepada mereka bersungguh-sungguh sehingga mereka dapat menerima pelaksanaan tanpa bantahan. Ini kerana orang Melayu adalah mewakili 54% daripada jumlah penduduk Malaysia dan jika ditambah dengan kaum Bumiputera yang lain sebanyak 12% maka jumlah keseluruhan menjadi 66%. Pastinya PAS mampu melaksanakan hukum hudud di peringkat Malaysia jika berlaku kerjasama orang Islam keseluruhannya. Adakah ini mustahil untuk berlaku?

Walau apapun, penulis faham ini semua pasal politik, pasal kuasa, tak apalah PAS hendakkan kuasa TETAPI yang penting jangan memesongkan ahli-ahli diperingkat kampung hingga berlaku perpecahan semata-mata berbeza ideologi parti politik. Masih terngiang-ngiang ditelinga penulis kata-kata abang ipar yang melarang penulis solat hari raya lepas berimamkan orang UMNO kerana tidak sah. Sampai bilakah PAS hendak selesaikan pemesongan akidah ini? ?

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");