Perak Hari Ini

Pemuda Pas palu tin kosong

Exco Kerajaan Negeri menyifatkan Dewan Pemuda Pas sebagai budak nakal yang merengek mahukan coklat dan terpaksa memukul tin kosong apabila keinginannya tidak dapat dipenuhi.

Datuk Zainol Padzi Paharudin berkata, sesekali apabila suara sumbang itu tidak mendapat perhatian, mereka berusaha mereka-cipta kenyataan dengan harapan masyarakat umum memandangnya.

Namun, katanya, apa yang dilakukan itu telah menunjukkan kepada masyarakat betapa nakal dan tidak cerdiknya pemimpin Dewan Pemuda Pas dalam berpolitik kerana kerjanya mencari isu murahan.

“Sebenarnya apa yang mereka katakan itu secara tidak langsung menggambarkan rasa takut mereka dengan keberkesanan pentadbiran bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Bagi menghilangkan rasa gentar dengan kekurangan sokongan rakyat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini, mereka cuba mencipta pelbagai isu, tetapi nampaknya semua kenyataan itu bagai memalu tin kosong yang kedengaran agak sumbang,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Kelmarin, Setiausaha Dewan Pemuda Pas negeri, Dr Raja Ahmad Al-Hiss dilaporkan berkata, BN Perak dilihat seakan ketandusan berita setelah pemergian Dr Zambry menunaikan fardu haji ke Tanah Suci Makkah sejak 9 November lalu.

Beliau berkata, pemergian menteri besar itu menyebabkan segala pergerakan BN seakan lumpuh dan tidak bermaya, sekali gus memberi gambaran hanya Zambry yang memimpin kerajaan negeri selama ini, manakala jawatan Exco ibarat mengisi tempat kosong.

Zainol Padzi berkata, keseragaman bekerja semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sama ada ketika menteri besar ada dalam negeri atau tiada tetap sama iaitu bekerja keras mengikut portfolio masing-masing.

Katanya, tidak timbul anggota Exco curi tulang atau pentadbiran kerajaan negeri lumpuh dengan ketiadaan menteri besar kerana mereka tahu menjalankan amanah dan tanggungjawabnya kepada rakyat.

“Hampir setiap hari Exco kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN turun padang bertemu, mendengar masalah dan cuba menyelesaikan masalah rakyat.

“Mungkin situasi ini yang menakutkan Pas sehingga mereka terpaksa mencari isu untuk melaga-lagakan pemimpin kerajaan negeri dengan ketua pentadbir dan dengan harapan kestabilan BN atau UMNO Perak tergugat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan Dewan Pemuda Pas itu telah memakan diri sendiri kerana rakyat tahu apa yang kerajaan negeri lakukan berbanding kerja pemimpin Pas yang sekadar memukul tin kosong.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");