Perak Hari Ini

Perak perlu 76,000 pekerja mahir

Lebih 76,000 kekosongan kerja dilaporkan di Perak dengan lebih 80 peratus daripadanya adalah jawatan operator mesin dalam sektor elektronik dan elektrikal yang ketika ini menghadapi masalah kekurangan pekerja mahir yang kritikal.

Pengerusi Pusat Pembangunan Usahawan dan Kemahiran Perak (PESDC), Datuk Gan Tack Hong, berkata bagi mengatasi masalah itu, kemahiran pekerja perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi kehendak industri yang memerlukan kemahiran tinggi.

Salah satu caranya ialah dengan menambah kursus kemahiran di peringkat sijil kepada diploma melalui PESDC, katanya.

“Kita memperkenalkan ISO 9001 di PESDC dan menjelang Januari tahun depan, kita mahu melatih graduan dalam bidang kemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak pasaran industri hari ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Hari Kerjaya PESDC, di Ipoh, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Exco Industri dan Pelaburan negeri, Datuk Hamidah Osman.

Gan yang juga Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) negeri Perak, berkata setakat ini, lebih 5,000 pelatih berjaya dilahirkan PESDC sejak ia ditubuhkan kerajaan negeri pada 1993.

Ujarnya, di masa depan, pelabur akan mencari pekerja yang berkemahiran kerana kos pengambilan pekerja asing meningkat memandangkan kadar levi bakal dinaikkan serta penetapan gaji minimum juga sedang dalam kajian untuk dilaksanakan kerajaan.

“Oleh itu, kita perlu melatih lebih ramai pekerja untuk kemahiran tinggi terutamanya dalam bidang elektrik dan elektronik, iaitu sektor yang paling kritikal menghadapi kekurangan pekerja.

“PESDC menawarkan lapan kursus kemahiran peringkat sijil antaranya kimpalan, penyamanan udara dan pembekuan, teknologi plastik, elektronik perindustrian dan mekanik kenderaan motor,” katanya.

Selain menawarkan latihan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), PESDC katanya, turut membuka peluang kepada pekerja sektor perkilangan dan perindustrian tempatan untuk meningkatkan kemahiran yang sedia ada.

“Melalui cara ini, pekerja bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran mereka tetapi juga berpeluang menikmati gaji lebih tinggi selepas mengikuti latihan yang disediakan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");