Isu Panas

Rekonstruksi UMNO?

Kegusaran semakin terasa, keadaan semakin serius dan UMNO semakin dihambat untuk melakukan perubahan. Perubahan macam mana – semua acap dan kerap di dibincangkan namun ia berlegar sekitar perbincangan sahaja. Perjumpaan antara penulis – penulis media alternatif dan perjumpaan sekitar bulan Ramadhan dan sebelumnya sering merujuk kepada kelemahan UMNO. Bekas kepimpinan UMNO juga menceritakan mengenai kelemahan dan kekurangan kepimpinan hari ini dari sudut jati diri politik.

Namun pengakuan kelemahan ini tidak disertai dengan langkah perubahan. Kita mendengar kritikan terhadap kepimpinan kerap berlaku. Laman media alternatif UMNO membelasah, mengkritik dan menghentam kepimpinan yang bagi mereka gagal untuk memacu kemenangan untuk UMNO. Kepimpinan masih selesa dan semakin selesa sungguhpun ada antara mereka faham cabaran yang akan UMNO hadapi. Adakah ini senario sebenar yang ada atau kepimpinan melihat ada cara lain untuk menjana kemenangan bagi pihak UMNO dan BN? Adakah benar-benar UMNO sedang di ancam dan sedang menunggu penghujung jalan dalam pemerintahan negara ini.

Secara peribadi saya amat kerap mendengar mengenai kegagalan kepimpinan dalam menjayakan aspirasi yang dikehendaki oleh akar umbi UMNO. Ramai merungut kerana UMNO melaksanakan program yang tidak berkesan – seumpamanya juara rakyat, yang bagi sesetengah pihak hanya program tanpa pengisian dan tidak akan dapat membawa balik sokongan undi yang telah lepas pergi. Desas desus mengenai kegagalan melaksanakan program semakin kuat dan antaranya juga melibatkan program yang mahu dijalankan tetapi terbantut akibat disebat oleh mereka yang diamanahkan untuk melaksanakannya.

Dari sudut pertembungan media pula – media-media UMNO dan BN jelas ketinggalan sungguhpun ada usaha yang cemerlang untuk menunjukkan partisipasi penyokong dan ahli UMNO untuk sama-sama hadir dalam maya tetapi kesan menyeluruhnya amat minimum. Kenapa? Ada yang mengatakan mereka gagal mendapat sokongan dari segi informasi dan gagal mendapatkan maklum balas kepimpinan untuk satu-satu isu yang ada. Selain dari itu pada pendapat saya adalah kekurangan penumpuan dan tidak ada pemusatan yang sempurna dalam pembentukan media – media yang lebih berwibawa dalam menerangkan isu-isu ada dengan lebih sempurna. Media ini juga jarang menjadi media yang berjaya – sebagai penerangan sebelum sesuatu tindakan di ambil.

Sedang pembangkang meneruskan usaha-usaha dalam menggarap partisipasi anak muda dengan cara yang lebih efektif kita masih tercari-cari formula untuk mendapatkan sokongan anak muda yang semakin bersemangat bercerita mengenai politik tanah air. Kita masih terikat dengan budaya lama dalam berdepan dengan anak muda. Kita gagal mengenal pasti segmen mereka yang peka politik, yang lebih kepada aktiviti sosial dan kemasyarakatan serta kita tidak nampak menjalankan tindakan – tindakan ke arah menggarap mereka bersama kecenderungan mereka.

Membicarakan mengenai perlu perubahan dalam kabinet Perdana Menteri Malaysia, saya perhatikan bahawa pelaksanaan adalah lebih bermasalah. Menteri – menteri sering terikat dengan apa yang ada di sekitar mereka – jarang mahu berdepan dengan pertempuran idea yang besar – tidak terbuka untuk meraikan percanggahan pendapat dan kekuatan untuk berhujah mengenai sesuatu isu. Ini perlu kita laksanakan kerana inilah yang menjadikan kita ketinggalan dalam menangani isu semasa.

Mungkin amat jelas – kesalahan kita masih belum kita perbaiki. Kita gagal menyentuh secara terperinci dan gagal melihat keluar dari apa yang ada di depan mata kita. Kita terbatas melihat dan amat sibuk dengan konon-kononnya kita tidak ada masalah. UMNO sebenarnya berdepan dengan masalah besar.

UMNO perlu di rekonstruksi. Cara dan sistem lama dalam usaha menangani pengundi perlu, penerangan yang lebih sistematik dan jelas perlu, pendidikan politik kepada ahli perlu, menangani kehendak dan cita rasa anak muda perlu, penglibatan dan partisipasi dalam media alternatif perlu, penerbitan dan percetakan perlu dan pendedahan sempurna kepada politik baru adalah perlu.

Semua ini perlu dilaksanakan dengan beberapa rekonstruksi dari segi pentadbiran dan kekuatan pengurusan. UMNO perlu menilai semula kedudukan dan peranan Ketua Penerangan di semua peringkat, melihat kursus dan cara mendidik ahli dari sudut pendidikan politik dan asas penting lain dalam membolehkan mereka berdepan dengan masyarakat, mengubah dan memperbagaikan peranan Setiausaha yang tertakluk kepada menteri , peranan pegawai khas dan mengkhususkan kehadiran mereka untuk berdepan dengan soal-soal kemasyarakatan. Keperluan juga dilihat dari sudut peranan media alternatif, perang saraf dalam bertempur dari sudut idea. Rekonstruksi ini perlu melihatkan kehadiran mereka yang lebih “passionate” dan bersemangat dalam menguruskan masalah yang dihadapi rakyat, lebih peka dan lebih tersentuh dalam berkhidmat. UMNO perlu melakukan banyak perkara-perkara praktikal tetapi keperluan utama adalah agar KEPIMPIMAN diserapi kesedaran mutlak dan bersedia untuk bertindak dan bukan hanya retorik dalam perjuangan. Mungkin ada yang mahu membidas..

Sumber: UMNO-Reform

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");