Perak Hari Ini

Sistem Apungan Ringgit Secara Terurus Lebih Berkesan, Kata Ahmad Husni

Sistem pengapungan ringgit secara terurus yang diamalkan pada masa ini lebih berkesan berbanding pelaksanaan tambatan ringgit, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata pemantauan berkesan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap sistem itu berjaya membawa ekonomi negara dalam kedudukan yang stabil.

“Eksport negara kita mencapai pertumbuhan tinggi sehingga September lepas dan kita dapati dengan peningkatan ringgit akan membawa kepada kos input yang lebih murah.

“Kerajaan tidak perlu melaksanakan tambatan ringgit pada masa ini disebabkan pemantauan yang sedang dibuat oleh BNM mendapati pertumbuhan ekonomi negara memberangsangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Konvokesyen Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas Parlimen Tambun di Dewan Serbaguna Taman Meru di sini pada Sabtu.

Baru-baru ini mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kenyataan bahawa mata wang tempatan ringgit mungkin perlu ditambat semula bagi membolehkan negara mendapat faedah daripada pengukuhan nilainya.

Dr Mahathir berkata kuasa beli rakyat masih rendah biarpun nilai mata wang negara semakin meningkat, sekali gus mendorong kepada penurunan nilai import.

Pada September 1998 Dr Mahathir telah melaksanakan sistem tambatan ringgit sebagai antara satu reaksi untuk menangani kemelut mata wang Asia Timur 1997-1998 yang melanda Malaysia dan negara-negara rantau ini.

Bagaimanapun pada 21 Julai 2005, kerajaan memutuskan memansuhkan tambatan ringgit dan nilainya kemudian ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata, pada masa sekarang didapati Indeks Komposit Bursa Malaysia telah meningkat lebih 1,500 mata kerana pengaliran wang dari luar negara ke negara ini telah menjana pertumbuhan ekonomi yang positif.

Katanya kenaikan ringgit pada masa ini telah memberi keyakinan kepada pelabur untuk melabur di negara yang kukuh nilai ringgitnya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");