Perak Hari Ini

Taut kembali kerabat Perak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

RAJA Nur Jannah Raja Hirdan memang dikenali dalam keluarganya sebagai anak yang kreatif. Dialah diharap mengubah suai susun letak perabot setiap kali musim raya. Dia juga arif bab tanam menanam kerana minat mendalamnya pada kehijauan.

Namun, Nur Jannah juga sangat bertekad apabila mahu melakukan sesuatu. Segalanya bermula atas kesedaran diri pada 2009. Jannah yang dahulunya bekerja di bidang perhotelan, bercadang hendak mengadakan majlis perjumpaan keluarga.

Awal-awal lagi dia membuat perancangan yang terperinci dan berhasrat hendak mengedarkan salasilah keluarga semasa pendaftaran. Ini memandangkan ahli keluarga sudah berkembang dan ramai juga ahli yang senior melangkaui warga emas.
“Saya rasa agak kecewa apabila hanya segelintir sahaja yang berminat dengan salasilah keluarga. Maklum balas yang saya terima langsung tidak menggalakkan. Ini menjadi pencetus dan cabaran bagi saya untuk membuktikan yang projek ini bukan perkara sia-sia.

Katanya, agama sendiri menitikberatkan nasab keluarga kerana Allah berfirman yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakanmu dari seorang diri, dan daripadanya Allah telah menciptakan isterinya, dan dari keduanya Allah mengembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang (dengan namaNya) kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasimu.” (Annisa:1) “Mengenali susur galur keluarga atau salasilah keluarga juga merupakan sunnah Nabi Muhammad,” kata Nur Jannah, 50. Merekodkan salasilah bermakna kita mengikut sebahagian daripada sunnah nabi itu.

“Dari Anas bin Malik r.a. “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Barang siapa yang suka diperluaskan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah hubungan silaturrahim”. (Riwayat Al-Imam Bukhari).
Minat seseorang itu pasti ada pemulanya dan anak jati kelahiran Bukit Candan, Kuala Kangsar, Perak ini merasakan arwah bapanya pencetus segalanya.
“Sebenarnya arwah bapa saya dahulu memang rajin ‘bersoreh’, menceritakan kaitan kekeluargaan kami apabila ada masa lapang, tetapi pada waktu itu saya rasa maklumat berkenaan tidak begitu penting. Maka saya kurang memberi perhatian kepada cerita-ceritanya itu.

“Kini saya menyesal. Terlalu banyak soalan yang sepatutnya saya tanya tetapi tidak pernah berbuat demikian.” Dalam proses penyediaan salasilah, Nur Jannah memulakan daripada Sultan Ahmadin iaitu Sultan Perak yang ke-18. “Tujuan saya untuk mencetus kesedaran kepada saudara mara terutama generasi muda mengenai pertalian keluarga kami dengan raja-raja terdahulu. Tetapi setelah proses bermula, usaha menjejak salasilah ini kian berkembang dalam diri saya. Timbul rasa ingin tahu dan minat yang mendalam, sesuai dengan kata-kata “lebih banyak kita belajar, lebih banyak kita tidak tahu.” Ceritanya, keluarga Raja Perak sangat besar. Raja-raja dahulu setiap seorang mempunyai ramai isteri. Isteri ini pula kebanyakannya daripada kalangan saudara-mara malah ada yang ‘berganti tikar’. Pendekatan Nur Jannah, tumpukan satu keluarga pada satu masa.
“Kini saya melancarkan projek salasilah secara besar-besaran dengan memaparkan salasilah keluarga ke dalam laman Facebook sedikit demi sedikit. Dengan cara ini, ahli keluarga terbabit memberi komen dan tambahan informasi yang secara tidak langsung membantu saya dalam menyiapkan projek ini. “Cara ini nampaknya lebih berkesan berbanding sebelumnya di mana saya terpaksa mengunjungi saudara mara untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Nur Jannah membuat jadual dan membahagikan perancangan dalam kumpulan A (salasilah yang dikeluarkan dalam bentuk deraf ke laman Facebook. Setakat ini 20 salasilah sudah keluar), B (salasilah sedang dalam proses untuk dikeluarkan ke laman Facebook, lebih kurang 10 salasilah) dan C (lebih 20 salasilah dalam perancangan untuk dikeluarkan ke laman Facebook di masa akan datang).
“Semua salasilah itu saya paparkan melalui halaman ‘Projek Salasilah’,” katanya.
Program terkini Nur Jannah yang kini menetap di Kuala Lumpur ialah mengeluarkan buku Salasilah Keluarga Raja Kulop Muhammad.
“Saya kini mengunjungi saudara-mara yang berpangkat tua untuk fasa pengesahan. Sasaran saya untuk mencetak buku ini pada awal 2011 selewat-lewatnya bulan Februari. “Saya mulakan dengan Raja Kulop Muhammad kerana Allahyarham ialah moyang saya jadi saya rasa adalah lebih afdal saya mulakan dengan keluarga sendiri dahulu,” katanya.
Dia bimbang jika projek ini tidak dibukukan, maklumat yang ada mungkin hilang begitu saja setelah dia tiada kelak. “Seandainya anak cucu atau generasi akan datang berminat, mereka boleh sambung sahaja daripada buku yang ada, insya-Allah,” katanya.
Projek salasilah ini secara tidak langsung merapatkan hubungan silaturahim dan Nur Jannah sangat merasainya.
“Saya kini kenal ramai saudara mara dekat dan jauh melalui laman Facebook apabila saya keluarkan salasilah. Ramai saudara mara yang sebelum ini tidak kenal saya kini mengenali saya. “Saya juga membuat kunjungan rumah ke rumah untuk mendapatkan maklumat daripada sesetengah saudara mara,” katanya.
Memang wanita ini bersungguh-sungguh dalam merealisasikan projek yang sudah dimulainya tetapi setiap perkara yang baik tentu saja banyak cabarannya.
“Cabaran memang sentiasa ada. Saya memerlukan sangat banyak masa untuk projek ini hingga kadang-kadang sehari suntuk saya mengadap komputer dan tiada masa untuk urusan lain. “Cabaran kedua, bukan semua orang dengan mudah mahu memberi maklumat kepada kita tetapi saya anggap segalanya ada hikmah yang tersendiri dan tetap meneruskan niat yang tersemat di hati,” katanya.
Berkenaan dana, Nur Jannah mengaku perlu banyak wang sendiri.
“Setakat ini saya guna duit sendiri dan kadang-kadang adik beradik menaja kertas dan toner. Itu belum mengambil kira belanja untuk pengangkutan bila saya perlu berjumpa saudara mara dan sebagainya. Setakat ini untuk menyiapkan buku saya memang tiada dana, jadi jumlah cetakan bergantung kepada tempahan mereka yang berminat,” katanya.
Kepuasan tampak jelas di mata Nur Jannah dan dia merasakan setiap keringat, tenaga dan masa yang diluangkan untuk projek salasilah ini sangat berbaloi baginya. “Insya-Allah buku kedua saya kelak ialah salasilah keluarga Raja Bendahara Abdul Rashid ibni Sultan Idris 1, juga moyang saya. Maklumat sudah 80 peratus siap cuma perlu sedikit informasi, gambar dan ubah suai rekaan. Saya jangkakan apabila buku pertama sudah keluar, buku berikutnya akan lebih mudah. Semoga Allah permudahkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");