Perak Hari Ini

Tiga lokasi alami indeks cemar

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan Indah Water Konsortium (IWK) melancarkan program 1 Negeri 1 Sungai di sini, semalam untuk sama-sama menjaga serta memulihara kebersihan sungai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, perbincangan telah diadakan bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk penubuhan jawatankuasa bagi menyelia program itu.

Beliau berharap, program itu dapat mengurangkan kadar indeks pencemaran sungai dan menjamin kualiti air lebih baik.

“Hari ini tiga kawasan sepanjang Sungai Kinta sejauh tiga kilometer bermula dari Gunung Cheroh, Kampung Temiang dan Paloh dikenal pasti antara yang mempunyai indeks pencemaran tertinggi.

“Pencemaran di kawasan berkenaan dipercayai terhasil akibat sampah sarap dan sisa buangan daripada loji, pasar basah serta premis makanan.

“Oleh itu program 1 Negeri 1 Sungai ini diharap dapat membantu memulihara semula sungai di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung program 1 Negeri 1 Sungai di Bilik Gerakan Negeri di sini, semalam.

Menurut Hang Soon, pemasangan perangkap gris juga perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh khususnya di setiap premis makanan di bandar raya ini bagi membantu memerangkap sisa makanan serta minyak mengalir memasuki Sungai Kinta.

Selain itu, beliau berharap pihak IWK dapat menyediakan lebih banyak loji penapisan di beberapa tempat agar proses pembersihan itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

“IWK memaklumkan dua loji telah siap dan kini mereka dalam proses menyiapkan empat lagi loji di bandar raya ini bagi membantu melancarkan proses pembersihan,” katanya.

Sementara itu, Hang Soon berkata, semua pihak termasuk orang ramai juga perlu membantu bersama-sama menjayakan program berkenaan bagi mengembalikan kegemilangan Sungai Kinta yang terkenal dengan kebersihannya sebelum ini.

Katanya, berdasarkan laporan daripada JAS, Sungai Kinta berada pada kelas kedua dan diharap proses pembersihan itu dapat membantu mencapai prestasi lebih baik pada masa hadapan.

“Semoga program ini berjaya mencapai matlamatnya dan seterusnya menjadikan kebersihan Sungai Kinta ini sebagai contoh yang akan diikuti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");